GEORGE TOWN : Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menerusi Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah dua kali memohon kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan pembenihan awan khususnya di kawasan empangan sebelah pulau negeri itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada agensi terbabit berhubung perkara tersebut setakat ini.
“Kita mohon dua kali. Pada 19 Julai lalu kita hantar surat dan kemudian, kita hantar satu lagi surat susulan selepas itu, namun, masih tiada maklum balas lagi.
“Di kawasan pulau, kita masih ada cabaran untuk mengisi dua empangan yang memerlukan air hujan juga. Kita sudah pohon (pembenihan awan) namun belum ada kelulusan, jadi kita perlu atur permintaan dan penyaluran bekalan air kepada pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Berdasarkan data terkini daripada laman sesawang milik Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) hari ini, dua empangan utama di bahagian pulau iaitu Empangan Air Itam mencatatkan kapasiti effektif pada paras 35.8 peratus, manakala Empangan Teluk Bahang pula pada paras 29.6 peratus.
Pada masa yang sama, Empangan Mengkuang yang terletak di Seberang Perai pula berada pada paras sebanyak 86.8 peratus.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pada masa ini, PBAPP turut menggunakan air daripada Empangan Mengkuang selepas paras air Sungai Muda mula mencatatkan penurunan.
“Selalunya, paras air di Empangan Mengkuang berada antara 95 hingga 98 peratus. Tapi, oleh kerana kita perlu lepaskan air dalam tempoh dua minggu apabila paras Sungai Muda turun, sekarang, paras (Empangan Mengkuang) pula turun sampai 87 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Pulau Pinang turut mengalu-alukan usaha NADMA untuk menjalankan usaha pembenihan awan di kawasan Empangan Muda, Kedah.
Ini kerana, katanya, usaha itu akan dapat membantu meningkatkan paras air Empangan Muda sekiranya hujan turun selepas pembenihan awan dilakukan.
“Jika hujan turun, maka, Empangan Muda dapat diisi semula dengan air hujan dan mereka dapat lepaskan air ke Sungai Muda. Jadi, Pulau Pinang akan mendapat manfaat sekiranya pembenihan awan di Empangan Muda berjaya,” katanya.-UTUSAN










