Pemaju janji bina semula rumah generasi baharu Felda Lurah Bilut

Pemaju janji bina semula rumah generasi baharu Felda Lurah Bilut

MUHAMMAD Asri Lazim (kiri) bersama wakil pemaju meninjau kawasan perumahan generasi baharu Felda Lurah Bilut yang terbengkalai di Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Setelah sembilan tahun terbengkalai, pemaju perumahan generasi baharu di Felda Lurah Bilut di sini, berjanji me­nyambung pembinaan projek itu yang dijangka bermula Oktober ini.

Ketua Peneroka Felda Lurah Bilut, Muhammad Asri Lazim berkata, pemaju memberi komitmen membina semula 12 unit rumah yang tidak siap dan 12 lagi membabitkan fasa baharu.

“Seperti dimaklumkan pemaju dalam pertemuan baru-baru ini, pembinaan bermula tahun ini. Kerja-kerja pembersihan di kawasan rumah dilakukan terlebih dahulu.

“Sekarang pemaju sedang buat rayuan kurangkan premium tetapi dimaklumkan sama ada rayuan diterima atau sebaliknya, mereka tetap membuat juga rumah berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Akhbar ini baru-baru ini melaporkan, sejak dibuka pada 1958, Felda Lurah Bilut yang merupakan tanah rancangan pertama negara belum mempunyai rumah generasi baharu kerana projek perumahan yang dimulakan pada 2015 terbengkalai.

Difahamkan, tanah ranca­ngan itu sudah melahirkan lima generasi membabitkan kira-kira 5,000 orang dan terpaksa me­numpang di kediaman ibu bapa bersama adik beradik lain kerana ketiadaan rumah.

Tinjauan di lokasi projek mendapati, hanya dua rumah contoh siap dibina manakala 10 buah lagi hanya mempunyai dinding dan sebahagian bumbung.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Lurah Bilut, Md. Zulkifli Md. Yunus berkata, perumahan generasi baharu Felda Lurah Bilut yang dimulakan pada 2015 itu melibatkan pembinaan rumah teres dan flat yang boleh menyediakan rumah kepada 616 peneroka.

Menurutnya, perumahan itu begitu diperlukan oleh ge­nerasi baharu yang kini terpaksa menumpang di rumah ibu bapa mereka bersama adik-beradik lain.

“Berdasarkan pertemuan dengan pemaju, mereka merancang melakukan kerja awalan bermula September ini dan kerja sebenar akan bermula Oktober depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN