MELAKA: Seorang pegawai tadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM900 daripada seorang kontraktor pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Rozaiman Rahmat, 45, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pertama dan ketiga sejurus dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan tetapi dia mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan kedua.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh iaitu pegawai tadbir di Unit Penguatkuasaan MPAG didakwa menerima suatu balasan iaitu wang tunai RM400 dan RM2,000 daripada pemilik syarikat pengiklanan, Ong Ah Siong yang mana tertuduh mengetahui individu berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Alor Gajah, Jalan Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 31 Mac dan 6 September 2022.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sebagai ketua unit di Unit Kutipan Tunggakkan MPAG telah menerima suatu balasan iaitu wang tunai RM500 daripada individu sama di lokasi sama pada 18 April 2023.
Semua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan denda RM2,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon pertuduhan kedua digugurkan (TIC) berdasarkan Seksyen 171(A) Kanun Tatacara Jenayah.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan telah insaf dan menyara isteri serta dua anak yang masih bersekolah termasuk bapa dan ibu mertuanya, masing-masing berusia 74 dan 65 tahun.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan ketiga atau dua bulan penjara jika gagal bayar sementara pertuduhan kedua digugurkan seperti dipohon pendakwaan.- UTUSAN










