Dua remaja hilang sejak Sabtu lalu di Ampang

Dua remaja hilang sejak Sabtu lalu di Ampang

POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan dua remaja yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di sekitar Ampang sejak Sabtu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan dua remaja yang dilaporkan hilang dalam dua kejadian berasingan di sekitar Ampang sejak Sabtu lalu.

Laporan pertama diterima polis melibatkan selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, N. Barath yang gagal pulang ke rumah selepas keluar membawa anjing peliharaan bersiar-siar kira-kira pukul 7 malam pada 5 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, ahli keluarga remaja itu telah menjalankan usaha mencari sebelum menemukan anjing peliharaan itu diikat pada sebatang pokok di tepi jalan berhampiran rumah mereka.

Namun, katanya, remaja terbabit masih belum ditemukan sehingga kini.

“Ketika keluar dari rumah, mangsa memakai seluar jeans hitam dan kemeja-T berwarna biru.

“Mangsa berketinggian kira-kira 155 sentimeter, berat 62 kilogram, berkulit gelap, berambut hitam dan tidak memakai cermin mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, lokasi terakhir mangsa dikesan adalah di Jalan Permata 9, Taman Permata, Hulu Kelang.

Dalam kejadian berasingan, polis turut mengesan seorang remaja perempuan, Qaseh Atika Mohd. Naim Abdullah, 17 tahun lima bulan yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Jalan UP 3/7B, Ukay Perdana.

Jelasnya, kehilangan remaja itu disedari bapanya kira-kira pukul 8 malam pada hari sama selepas mendapati mangsa tiada di rumah. 

“Pihak sekolah turut memaklumkan bahawa mangsa tidak hadir ke sekolah pada keesokan harinya.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara mangsa dengan keluarganya sebelum kehilangan tersebut,” jelasnya.

Khairul Anuar berkata, mangsa berketinggian kira-kira 157 sentimeter, berat 45 kilogram, berbadan kurus dan berkulit sawo matang.

Sehubungan itu, jelasnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Barath diminta menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd. Saiful Shahfuzi Mohd. Radzi di talian 019-320 2055.

“Bagi maklumat berkaitan Qaseh Atika pula, orang ramai boleh menghubungi talian sama atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Faizah Mohd. Anuar di talian 017-342 2804.

“Ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak di bawah jagaan masing-masing serta menghubungi pihak polis atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau memerlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN