Russia tuduh Ukraine tolak gencatan senjata sementara - Utusan Malaysia

Russia tuduh Ukraine tolak gencatan senjata sementara

LETUPAN akibat serangan peluru berpandu Russia di Kyiv semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 MOSCOW: Kementerian Pertahanan Russia menuduh Ukraine menolak cadangan gencatan senjata sementara di bandar Kostiantynivka yang sepatutnya bertujuan membolehkan Moscow menyerahkan mayat tentera Ukraine yang terkorban.

Menurut kementerian itu pada Ahad, pihaknya telah mengusulkan gencatan senjata selama enam jam di Kostiantynivka dan kawasan sekitarnya pada Isnin bagi memudahkan proses penyerahan tersebut.

Ia turut  memberi tempoh sehingga pukul 9 pagi waktu tempatan Ahad untuk Kyiv memberikan maklum balas.

Dakwaaan terbaharu Russia itu memanaskan lagi perang mulut antara kedua-dua belah pihak berhubung status Kostiantynivka. Pada Jumaat lalu, Russia mendakwa tenteranya telah berjaya menguasai sepenuhnya bandar strategik di wilayah Donetsk itu, wilayah yang sekian lama menjadi sasaran utama kemajuan Moscow.

Bagaimanapun, Ukraine se­keras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan pasukan tenteranya masih mengekalkan kawalan di bandar berkenaan.

“Sudah tentu perkara itu tidak benar. Ia hanya satu lagi penipuan Russia, cubaan untuk reka-reka cerita. 

“Jika benar Kostiantynivka berada di bawah kawalan Russia, Putin pasti tidak mempunyai masalah untuk bertemu de­ngan saya di sana bagi mencari jalan diplomatik bagi menamatkan perang ini,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi hantaran di platform X. 

Sementara itu di saluran radio Russia, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memperkecilkan pelawaan Zelensky.

Peskov menyatakan bahawa Kostiantynivka kini sudah menjadi sebahagian daripada wilayah Russia dan menegaskan pelawaan Kremlin untuk Zelensky bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin di Moscow masih terbuka.

Zelenskyy pada bulan lalu dilaporkan telah menghantar surat kepada Putin bagi mengadakan rundingan bersemuka sebagai langkah ke arah perdamaian selepas Russia menceroboh negaranya pada 24 Februari 2022. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN