LIPIS: Cubaan lari daripada pemeriksaan polis berakhir dengan kemalangan apabila sebuah kereta jenis BMW yang dipandu lelaki tempatan terbabas dan melanggar tangki air di Kilometer 23, Jalan Lipis–Merapoh di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika kereta berkenaan bersama lima penumpang warga Myanmar dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
“Setiba di sekatan jalan raya di Kilometer 28, pemandu bertindak memecut laju menghala ke Lipis untuk mengelak pemeriksaan. Namun kenderaan itu hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tangki air di hadapan sebuah kedai makan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ismail, kemalangan itu menyebabkan pemandu berusia 45 tahun dan dua wanita warga Myanmar cedera dan berjaya ditahan polis.
“Tiga lagi penumpang, seorang wanita dan dua lelaki warga Myanmar melarikan diri dari lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan ketiga-tiga suspek warga Myanmar itu sedang giat dijalankan dan polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Lipis atau balai polis berdekatan. – UTUSAN










