KUALA TERENGGANU: Seorang pegawai kanan bomba dipenjara tujuh tahun dan didenda RM172,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tiga kesalahan salah guna kuasa, empat tahun lalu.
Hakim Dazuki Ali membacakan hukuman itu terhadap Mohd. Roslan Zakaria, 41, hari ini, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh iaitu Penolong Kanan Penguasa Bomba didakwa menggunakan jawatan untuk menerima suapan dengan mencadangkan sebut harga syarikat milik ibu mentuanya.
Perbuatan itu dibuat bagi membolehkan syarikat terbabit, Pak Su Global Enterprise, melaksanakan kerja-kerja pembekalan 60 unit antena dan 30 unit alat ganti pengecas bernilai RM8,100.
Mohd. Roslan juga didakwa mencadangkan sebut harga syarikat milik adik iparnya, Muazzam Global Enterprise, bagi membekalkan 31 unit kompas berjumlah RM7,440.
Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mencadangkan sebut harga syarikat adik iparnya itu untuk kerja-kerja pembekalan 10 unit jaket keselamatan di air dan 20 unit sut bernilai RM17,000.
Mohd. Roslan didakwa melakukan kesalahan itu di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai dalam daerah Marang pada Julai dan November 2016.
Bagi setiap pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua selain denda RM42,000 dan RM40,000 serta enam bulan penjara jika gagal bayar.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Roslan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM90,000 dan berdepan penjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini namun membenarkan permohonan penangguhan penjara oleh pihak pembelaan manakala penangguhan denda ditolak.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh dan Pegawai Pendakwa, Nur Raihan Mohd. Yusoff manakala tertuduh diwakili peguam, G. Ravishankar. – UTUSAN










