Anggota bomba bertarung padam kebakaran hutan akibat cuaca ekstrem - Utusan Malaysia

Anggota bomba bertarung padam kebakaran hutan akibat cuaca ekstrem

ANGGOTA bomba memerhatikan kebakaran hutan dari Pouzols-Minervois, selatan Perancis semalam. - AFP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pasukan anggota bomba terpaksa bertarung hebat menyekat beberapa kemaraan api dalam insiden kebakaran hutan yang ditiup angin kencang di selatan Perancis pada Khamis. Kejadian berlaku ketika negara itu berdepan keadaan cuaca terlampau kering susulan gelombang haba yang melanda Eropah baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Laurent Nunez berkata, tiga kebakaran yang dua daripadanya tercetus di pinggir barat bandar pelabuhan Mediterranean, Marseille telah melibatkan kawasan seluas 1,210 hektar.

Ketika Perdana Menteri, Sébastien Lecornu tiba di Marseille pada petang Khamis untuk mempengerusikan mesyuarat krisis terbaharu mengenai gelombang haba dan kebakaran hutan tersebut, pihak bomba memaklumkan satu lagi kebakaran baharu sahaja meletus berhampiran bandar Roquemaure di wilayah Gard.

Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada minggu lalu telah memberi amaran bahawa rekod suhu ekstrem yang membakar barat Eropah selama lebih seminggu pada akhir Jun lalu akan memburukkan lagi risiko kebakaran hutan.

Ia adalah berdasarkan unjuran suhu tinggi yang berterusan, kelembapan sangat rendah dan tumbuhan yang kering-kontang.

Kebakaran hutan terbesar dilaporkan berlaku di wilayah pentadbiran Aude berhampiran sempadan Sepanyol.

Ia melibatkan kawasan seluas kira-kira 900 hektar yang musnah dijilat api. Pihak berkuasa tempatan menyatakan angin kencang menyukarkan lagi tugas 800 anggota bomba untuk mengawal api.

Sementara itu, anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran kecil di Rognac berhampiran lapangan terbang Marseille dan berjaya mengawal satu lagi kebakaran seluas 260 hektar di Lancon-Provence. 

Pegawai tempatan mengesahkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN