Paras air Tasik Bukit Merah makin meningkat

Paras air Tasik Bukit Merah makin meningkat

KEADAAN air di Tasik Bukit Merah yang semakin meningkat berikutan hujan sejak kebelakangan ini ketika tinjuan di Bukit Merah Laketown Resort di Bagan Serai semalam. – UTUSAN/AWAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Paras air di Tasik Bukit Merah di sini yang surut teruk bulan lalu kini terus mencatat kenaikan berikutan hujan sejak kebelakangan ini.

Tinjauan dari kawasan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) di sini mendapati tanah dasar tasik yang sebelum ini kelihatan sehingga ditumbuhi rumput, sudah ditenggelami air.

Difahamkan paras bacaan air tasik itu hari ini sudah mencapai kedalaman 22.40 kaki.

Peningkatan paras air menunjukkan peningkatan yang positif berbanding dua minggu lalu yang hanya mencatatkan sekitar kedalaman 19.85 kaki.

Paras bacaan normal air di Empangan Tasik Bukit Merah ialah 28.5 kaki.

Sementara itu, BMLR lega dengan perkembangan tersebut selepas terpaksa menghentikan semua aktiviti yang menggunakan tasik itu sejak pertengahan Jun lalu.

Pengurus BMLR, Danesh Kumar berkata, aktiviti rekreasi di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) akan kembali beroperasi semula sekiranya paras bacaan air di kawasan Jeti Pulau Orang Utan meningkat pada bacaan empat kaki.

Katanya, ketika ini paras bacaan air di kawasan jeti itu ialah 2.2 kaki.

“Memang berlaku hujan setiap hari sejak kebelakangan ini dan paras air tasik semakin meningkat tetapi paras air belum cukup tinggi untuk aktiviti rekreasi beroperasi semula.

“Kami mengharapkan paras air di tasik ini segera meningkat bagi membolehkan aktiviti yang menggunakan tasik dapat beroperasi semula.

“Aktiviti rekreasi seperti berkayak dan melawat ke Pulau Orang Utan hanya boleh beroperasi semula sekiranya paras air tasik di kawasan jeti mencapai kedalaman empat kaki,” Katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, tasik itu mengalami penyusutan air yang kritikal lebih sebulan sehingga menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian terpaksa menghentikan bekalan pengairan kepada pesawah sejak 26 Jun yang lalu.

Pemberhentian bekalan peng­airan telah menyebabkan hampir 5,000 hektar sawah padi di kawasan Bagan Serai terjejas dengan anggaran kerugian bernilai hampir RM7.5 juta melibatkan 2,162 orang pesawah.

Tasik Bukit Merah merupakan nadi utama bagi penduduk Kerian yang mana airnya bukan sahaja digunakan untuk pengairan sawah dan bekalan domestik tetapi turut digunakan untuk kolam ternakan ikan Arowana dan juga kawasan perindustrian di Kamunting. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN