BUKIT MERTAJAM : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang berjaya mematahkan satu cubaan menyeleweng bahan api diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 3.0 di sebuah premis pembekalan perkhidmatan sewaan jentera berat di sini, semalam.
Pengarahnya, S.Jegan berkata, ketika serbuan dilakukan, didapati sebuah kren pengangkat baru sahaja selesai memindahkan cecair yang disyaki diesel dari tangki asal ke dalam tong ‘Intermediate Bulk Container’ (IBC) berkapasiti 1,000 liter.
“Sehubungan itu, kenderaan terbabit bersama dua unit tangki IBC, satu unit hos paip dan motor pam termasuk beberapa dokumen berkaitan disita untuk siasatan serta tindakan selanjutnya.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk 1,650 liter diesel pula dianggarkan berjumlah RM51,045,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jegan berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu mahupun syarikat yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuklah sumber minyak diesel diperolehi serta edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, ketika ini, pihaknya sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar negeri ini bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
“Kita (KPDN Pulau Pinang) akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang.
“Ini termasuk undang-undang melibatkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi diesel yang merupakan salah satu kepentingan awam yang perlu diselia dan dijaga,” katanya.-UTUSAN










