PETALING JAYA: Negeri di bawah naungan institusi beraja perlu menjadikan Kedah sebagai contoh dalam memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah dengan meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan 2024).
Pindaan tersebut meletakkan kedudukan Mahkamah Syariah Kedah di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Marzuki berkata, pihaknya menyokong usaha konsisten tersebut dalam memperkasa Mahkamah Syariah melalui pindaan kepada perundangan sedia ada.
TEPAT DAN SESUAI
Katanya, PPMM percaya ia adalah amat tepat serta sesuai pada masa ini dalam memperkasakan taraf Mahkamah Syariah.
“PPMM berharap usaha mengukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah ini dapat dijadikan contoh oleh negeri-negeri lain mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan undang-undang Islam dapat diamalkan mengikut peruntukan perundangan yang diperuntukkan di bawah kuasa negeri.
“PPMM juga melihat usaha ini dapat mengekang pelbagai pihak daripada membandingkan asas penubuhan Mahkamah Syariah negeri-negeri dengan penubuhan Mahkamah Sivil,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan semalam.
Kelmarin, media melaporkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah (Pindaan) 2024 yang bertujuan memasukkan penubuhan Mahkamah Syariah.
TARAF
Mengulas lanjut, Muhamad Hisham berkata, dengan wujudnya pindaan pada undang-undang tubuh negeri itu, PPMM percaya perkara ini dapat mengangkat taraf dan kedudukan Mahkamah Syariah sekali gus dihargai dan dihormati selaku undang-undang yang meliputi kaum majoriti rakyat negara ini.
Katanya, ia juga dapat mengekang cabaran-cabaran berkenaan keabsahan undang-undang syariah bagi negeri-negeri di tanah air.
“PPMM juga percaya terdapat ruang lain yang dapat dikaji dan dilakukan pindaan-pindaan enakmen atau akta undang-undang Islam negeri yang dapat meningkatkan haibah undang-undang dan Mahkamah Syariah termasuk merealisasikan fungsi pindaan struktur lapisan Mahkamah Syariah sedia ada.
“PPMM juga merafak sembah dan menjunjung kasih kepada titah Sultan Kedah yang inginkan langkah pemerkasaan Mahkamah Syariah dilakukan dengan meletakkan penubuhan institusi itu di dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah.
“PPMM menggesa kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri untuk terus bekerjasama dalam merealisasikan hasrat mendaulatkan syariah di tanah air yang tercinta ini,” katanya. – UTUSAN











