Nahas Elmina: Lift dump spoiler tidak sengaja diaktifkan

Nahas Elmina: Lift dump spoiler tidak sengaja diaktifkan

Keadaan pesawat Beechcraft Premier 1 yang berkecai dalam nahas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam pada 17 Ogos tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan pembantu juruterbang yang berkemungkinan besar mengaktifkan lift dump spoiler secara tidak sengaja ketika melakukan pemeriksaan sebelum pesawat mendarat menjadi punca utama nahas jet Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada Ogos tahun lalu.

Lift dump spoiler ialah peranti yang mengurangkan komponen angkat pada airfoil iaitu satu permukaan bergarisan arus yang menyebabkan udara mengalir di sekitar permukaannya dengan cara terkawal.

Dapatan itu antara yang terkandung dalam laporan akhir mengenai siasatan kemalangan udara pesawat itu oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU), Kementerian Pengangkutan, setebal 148 muka surat yang disiarkan semalam.

Pesawat Beechcraft Premier 1 yang terbabit dalam nahas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam pada 17 Ogos tahun lalu.

Kata laporan itu, tindakan tersebut menyebabkan pesawat berkenaan hilang daya angkat secara mendadak dan mengakibatkannya hilang kawalan lalu terhempas.

Selain itu, laporan tersebut menyebut, susunan tempat duduk kru penerbangan didapati menyimpang daripada protokol ditetapkan.

Dapatan itu menyaksikan ketua juruterbang duduk di tempat duduk sebelah kanan manakala pembantu juruterbang di tempat duduk sebelah kiri yang bertentangan dengan manual penerbangan pesawat udara itu.

“Penyimpangan ini mungkin menyumbang kepada kru yang tidak berkesan dalam pengurusan sumber dan komunikasi,” kata laporan itu.

Dalam pada itu, laporan juga menyatakan kru penerbangan tidak mempunyai latihan dan tahap kesedaran cukup mengenai operasi sistem lift dump spoiler yang menyumbang kepada nahas berlaku.

“Pembantu juruterbang yang tidak biasa dengan risiko khusus yang dikaitkan dengan sistem lift dump spoiler membawa kepada pengaktifan sistem itu,” katanya.

Mengulas lanjut, terdapat komunikasi dan proses membuat keputusan tidak berkesan yang dibuktikan semasa fasa kritikal penerbangan.

“Tiada taklimat atau amaran khusus tentang operasi sistem lift dump spoiler dan keputusan menyimpang daripada protokol tempat duduk yang berakhir dengan kekurangan komunikasi dan membuat keputusan,” katanya.

Katanya, operator pesawat gagal mendapatkan kelulusan untuk perkhidmatan penerbangan tidak berjadual dan mematuhi peraturan kerajaan Malaysia dan jangkaan operasi.

Pada 17 Ogos tahun lalu, negara dikejutkan dengan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina dan mengorbankan 10 individu termasuk seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan maut selain dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.48 petang.

Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.

Pada 15 September tahun lalu, antara penemuan dalam laporan awal nahas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina yang dikeluarkan mendapati, tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.

Laporan itu menyebut kemalangan itu tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan berlaku.

Pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara yang sah dan dikekalkan dengan mematuhi peraturan, malah PIC (person in command) dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada.

Selain itu, insiden berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan sesuai seperti yang dilaporkan dalam keadaan meteorologi atau kaji cuaca. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN