SUNGAI PETANI: Kematian ahli keluarga dengan cara yang amat menyayat hati merupakan kehilangan paling menyakitkan sekali gus menjadi igauan sepanjang hidup.
Itu yang dilalui oleh keluarga Allahyarham Muhammad Hafiz Muhammad Salleh yang terbunuh dalam tragedi pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam setahun lalu.
Dalam kejadian itu, pekerja p-hailing berusia 32 tahun tersebut dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan turut maut bersama sembilan lagi mangsa termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Johari Harun.
Adik keempatnya, Norhikmah, 27, berkata, walaupun kehilangan abang sulungnya itu diterima sebagai takdir oleh ibu bapa mereka, Muhammad Salleh Othman, 58, dan Jamilah Ismail, 54, serta tiga lagi adik beradiknya, sebagai manusia biasa mereka masih mengingati setiap kenangan bersama arwah.
“Bapa mengunjungi pusara abang di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Jerung setiap hari Jumaat tanpa gagal. Ibu juga tidak pernah ketinggalan bersama kami membaca ayat suci al-Quran dan berdoa setiap kali solat untuk dihadiahkan kepada arwah,” katanya semasa ditemui di Taman Sidam Kiri, di sini semalam.
Menurut Norhikmah, dia percaya kesedihan kedua-dua ibu bapanya sedikit terubat kerana selepas dua bulan arwah meninggal dunia, dia melahirkan seorang anak lelaki yang kini berusia 10 bulan dan menjadi kesayangan datuk dan neneknya.
“Saya dan suami, Shahrul Nizam Abdul Rahman, 28, juga memilih untuk tinggal bersama mereka yang membolehkan anak kami rapat dengan datuk dan neneknya yang secara tidak langsung membantu mereka daripada memikirkan perkara lain,” katanya.
Selain itu, kata Norhikmah, kesibukan ibu bapanya mengurus perniagaan kedai makan sendiri di Sidam turut menjadi satu sebab mereka tidak terlalu bersedih dengan kejadian lalu.
Menurut Nurhikmah, dia pernah bermimpi bertemu arwah abangnya beberapa bulan selepas kejadian tetapi semua itu dianggapnya hanya mainan tidur. – UTUSAN









