MENCIPTA satu jenama Nadeera sebagai penyanyi komersial itu tidak semudah memegang kerambit dan mengukirnya di atas permukaan pohon, lalu memberitahu seluruh dunia, “Ini Nadeera”.
Menjadi seorang Nadeera itu, sebaliknya harus melalui onak dan ranjau 12 tahun untuk dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu pop dan balada Melayu, seperti yang kita saksikan sekarang.
Selepas membeliakkan mata rakyat Malaysia menerusi kejuaraannya dalam pertandingan nyanyian Big Stage musim kelima, Nadeera terus konsisten mempersembah naskhah pop sebagai penerus dan kelangsungan kerjayanya dalam aliran muzik perdana.
Maka, lahirlah Emas (2023), Boneka Tanpa Hati (2023) dan Udara (2024) tanda seriusnya wanita ini dalam bermuzik, meskipun ketiga-tiganya belum berpeluang bertakhta di hati dan telinga pendengar.

Namun, Nadeera optimis suatu hari nanti, karya-karyanya pasti diterima dan saya meletakkan harapan itu pada satu lagi single baharu, Bukan Lagi Kita, ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh.
Single ini bergerak di atas jalur melodi yang cukup epik dan dinamik. Berawal di verse pertama hadir dengan melodi yang mengikat saya untuk sekali pendengaran, sehinggalah ke bahagian korus pada rangkap ‘tergamaknya kau’ disusuli momentum yang benar-benar punch atau tepat di penempatannya.
Nadeera kekal agresif dengan tempo yang laju dan rapat serta kemampuannya mencapai nada-nada rendah dan tinggi (walaupun kebanyakannya tinggi-tinggi belaka).
Groovenya terus menarik pendengaran saya di rangkap “Kau yang menghancurkan, Dan kau sendiri mempersoalkan, Sedang kau tahu kita bukan lagi kita”.
Cuma, dalam kiraan bar yang terlalu rapat, saya kurang gemar dengan komposisi muzik menggunakan petikan gitar yang berlebih-lebihan sehingga menghasilkan bunyi yang mengganggu emosi dan tumpuan.
Kebingitan itu mengingatkan saya akan lagu Sembah (Naim Daniel menampilkan Man Kidal) yang gagal ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), malah komposisi lagu di dalam Tak Tercapai Akalmu (Elyana/ Aidit Alfian/Ad Samad) jauh lebih baik.
Ini yang mewujudkan satu lapisan halus selain autotune dan suara Nadeera seakan-akan ‘ditekap’ yang menjarakkan sebatian antara kualiti rakaman vokal dan instrumen muzik yang digunakan.
Di sebalik kritikan ini, saya tidak menafikan standard Bukan Lagi Kita bakal bergerak lebih jauh di bawah Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. berbanding beberapa single terdahulunya.

Jika saya tanya, apa diskografi Nadeera yang anda ingat? Tiada. Single sulungnya, Hasrat Hati (2015) pun tidak mampu membawa Nadeera ke tahap lebih jauh, malah beberapa lagi single dihasilkan selepas itu terus sepi.
Hebatnya Nadeera pada ketahanan vokal, attitude dan persembahan pentas, namun, dia sebenarnya masih bergelut meniagakan lagu-lagunya dalam pasaran muzik semasa.
Sebab itu, Emas yang menjadi saksi kemunculan dan kebangkitan semulanya pun tidak dapat menyerlahkan kilauannya.
Apa yang dia perlukan sekurang-kurangnya satu album long-play (LP) dengan lagu-lagu pop killer dan boleh dijual, sekali gus berdiri sebagai penyanyi komersial senior dengan identiti tersendiri.
Bakat Nadeera sudah tidak boleh dinafikan. Dia selayaknya berada dalam ruang muzik tempatan walaupun dengan kehadiran ramai penyanyi baharu.
Nadeera tidak boleh berasa selesa dengan penghasilan single demi single. Karyanya harus dipelbagaikan. Resumenya mesti kukuh dengan produk yang ada kredibiliti.










