PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, ucapan beliau di Nenggiri adalah suatu kenyataan fakta yang tidak bermaksud untuk menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut.
Justeru, bekas Perdana Menteri itu percaya, kenyataan beliau itu tidak melanggar mana-mana undang-undang negara.
“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjelaskan fakta-fakta berkaitan kenyataan saya,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Terdahulu, media melaporkan, sebanyak 30 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan Pengerusi Perikatan Nasional itu berhubung ucapan yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bekas Perdana Menteri itu akan diambil keterangan di pejabat beliau di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), esok.
Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebelum ini menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis telah memperlekeh dan mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Tengku Hassanal bertitah, sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran, kenyataan Muhyiddin tersebut memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Titahnya, kenyataan yang dikeluarkan itu juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat. – UTUSAN










