Mohd. Zambri naib canselor UMT ke-6

Mohd. Zambri naib canselor UMT ke-6

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi baru-baru ini mengumumkan pelantikan Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang ke-6 bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Ogos 2024 hingga 31 Julai 2026.

Mohd Zamri, 53, sebelum ini merupakan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT sejak 2020.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi pelantikan beliau bakal meneruskan agenda pemerkasaan universiti berkenaan sebagai peneraju utama bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik negara, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi komuniti menerusi Dasar Ekonomi Biru (Blue Economy).

“Memulakan perkhidmatan di UMT sejak 1998 sebagai pensyarah muda, beliau terus menaiki tangga kerjaya apabila diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pentadbiran, antaranya Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMT pada tahun 2010; Pengarah Makmal Pusat UMT pada tahun 2012; juga sebagai Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT pada tahun 2019, ujar kenyataan tersebut.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari University of Sunderland, United Kingdom (UK) pada tahun 1995, Ijazah Sarjana dari University of Warwick, UK pada tahun 1997 dan Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2006 dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Kementerian berkenaan juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Naib Canselor UMT, Datuk’ Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar atas perkhidmatan dan sumbangan beliau sepanjang menerajui UMT sebelum ini.

Dalam pada itu, Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UMT (PERENTAS) mengucapkan sekalung tahniah atas pelantikan Profesor Dr. Mohd Zamri Ibrahim sebagai Naib Canselor UMT yang ke-6 bagi menggantikan Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghafar yang telah tamat tempoh pada April lalu.

Presidennya, Wan Mohd. Wazir Wan Abdul Wahab berkata, pelantikan tersebut amat bermakna dan bertepatan dengan bidang tujahan UMT.

WAN MOHD WAZIR WAN ABDUL WAHAB

“Berita (pelantikan ini) adalah hadiah terbesar dan paling bermakna buat UMT yang merupakan satu pengiktirafan yang besar kepada pelan penggantian dan bakat ahli-ahli akademik dalaman UMT sendiri, ujarnya kepada Utusan Online.

Kata beliau lagi, hasil tinjauan, rata-rata warga UMT di semua peringkat sangat bergembira dan menyambut baik pengumuman yang telah dibuat oleh KPT baru-baru ini.

Justeru, PERENTAS bersama-sama warga UMT lain berjanji akan memberikan kerjasama yang terbaik dan akan terus menyokong semua usaha dan perancangan yang bakal dilaksanakan kelak.

“Kami berdoa semoga UMT terus menjadi sebuah universiti yang tersohor di Malaysia di bawah pimpinan yang baharu,” ujarnya yang juga Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×