PETALING JAYA: Mohd Effendy Abdul Ghani masih Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selepas penggantungannya disifatkan tidak sah kerana melanggar syarat-syarat ditetapkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jawatankuasa Kerja MTUC berkata, tindakan tersebut juga tidak selari dengan peruntukan undang-undang dan menunjukkan ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah yang telah dikeluarkan.
Menurutnya, mereka dimaklumkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memastikan semua pihak mematuhi arahan mahkamah.
“Oleh demikian, tindakan Timbalan Presiden MTUC, Matkar Siwang menggunakan jawatan Pemangku Presiden adalah tidak wajar memandangkan Mohd Effendy masih merupakan Presiden MTUC yang sah sehingga pemilihan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, jawatankuasa tersebut turut memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor bukan lagi seorang pekerja yang layak untuk menganggotai kesatuan tersebut.
Oleh kerana itu, jelasnya, status keanggotaan Kamarul terbatal secara rasmi berdasarkan pemakluman daripada Jabatal Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) yang dimaklumkan oleh RoS melalui surat pemakluman tambahan.
“Berdasarkan surat pengesahan RoS, tiada komunikasi rasmi menggunakan jawatan Setiausaha Agung (SUA) boleh dilakukan kerana terdapat kekosongan pada jawatan tersebut. Selaras dengan pemakluman perintah mahkamah, pengisian kekosongan jawatan yang kini dikosongkan atau yang telah dibatalkan keahliannya adalah tidak dibenarkan.
“Sebarang usaha untuk mengisi mana-mana jawatan pada waktu ini dianggap sebagai keputusan dasar yang melanggar perintah mahkamah tersebut. Sementara menunggu arahan atau nasihat lanjut daripada pihak berkuasa yang berkenaan, Presiden bersama Jawatankuasa yang diberi kuasa akan menjalankan tugas-tugas pentadbiran MTUC,” jelasnya.
Katanya, MTUC kini sedang meneliti dan mengambil tindakan susulan yang wajar bagi memastikan semua keputusan yang diambil adalah selaras dengan perlembagaannya dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil bertujuan untuk mengekalkan integriti organisasi ini serta memastikan hak dan kebajikan ahli–ahli MTUC terus diperjuangkan.
“MTUC akan berusaha secepat mungkin untuk mengadakan pemilihan baru bagi membolehkan organisasi ini kembali ke landasan yang betul setelah kes di Mahkamah Rayuan diselesaikan nanti,” katanya.- UTUSAN











