KUALA KANGSAR: Khutbah Jumaat dicadangkan menjadi antara ruang yang boleh digunakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan tanah pusaka.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melihat soal penerangan dan pendidikan mengenai tanah adalah kunci untuk menyelesaikan banyak perkara yang berbangkit.
Beliau menyatakan cadangan itu timbul berikutan isu membabitkan tanah adalah paling banyak dihadapi pihak kerajaan negeri yang menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan di setiap daerah di Perak.
“Kena didik. Ada cadangan supaya dalam Khutbah pun dimasukkan. Supaya siapa-siapa yang terlibat dengan kematian, dengan segera hendaklah menyelesaikan bicara kuasa,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Bertemu Pelanggan kerajaan negeri di sini hari ini.
Beliau berkata, masalah pewarisan tanah pusaka itu berlaku apabila sesuatu pemilikan tanah itu telah meliputi beberapa generasi dalam keluarga.
“Sebab itu sekarang ini kita syaratkan surau, masjid, dan tanah perkuburan hendaklah didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Kalau tidak, datuk atau moyang dia dulu lafaz wakafkan tanah untuk surau, sekolah agama rakyat dan masjid. Dia lafaz. Barangkali anak, cucu, cicit dia tak tahu,” katanya.
Saarani turut menitikberatkan pendidikan berkenaan tanah melibatkan perkara seperti pembayaran cukai serta proses pemilikan tanah.
Berkenaan program dihadirinya, Menteri Besar berkata bagi HPB Siri Ke-6 itu, sebanyak 69 kaunter aduan dibuka melibatkan kesemua portfolio kerajaan negeri dengan sebanyak 177 aduan telah diterima daripada penduduk daerah Kuala Kangsar.
“Kami komited untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh yang munasabah dengan mengambil kira tahap kerumitan dan keperluan sumber yang diperlukan.
“Sehingga Siri Ke-5, daripada 998 aduan yang diterima, 957 telah berjaya diselesaikan, manakala 41 masih dalam tindakan,” katanya. – UTUSAN










