BUKIT MERTAJAM : Polis berjaya membongkar kewujudan sebuah premis yang dipercayai digunakan sebagai lokasi untuk menyimpan dan memproses sisa elektronik atau e-waste secara haram bernilai jutaan ringgit menerusi Op Hazard di Lorong Pengkalan Indah, Bukit Tengah di sini, kira-kira pukul 11.55 pagi semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintenden Norazizi Saad berkata, premis itu dikesan susulan serbuan yang dibuat bersama beberapa agensi lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Pemeriksaan lanjut oleh pihak JAS negeri kemudian menemukan kira-kira 80 blok padat sisa elektronik (e-waste pressed blocks) serta lapan beg jumbo yang mengandungi komponen komputer dan papan induk (motherboard).
“Sampel bahan tersebut juga diambil untuk tujuan analisis serta pengesahan di bawah kod buangan terjadual dan kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya di sini, hari ini.
Tambah beliau, MBSP turut mengeluarkan dua kompaun terhadap pemilik premis terbabit kerana menjalankan aktiviti penyimpanan barang tanpa lesen yang sah.
Sementara itu, Norazizi berkata, dalam operasi yang sama, polis turut menahan 11 warga asing berusia antara 26 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati, 10 daripada mereka disyaki melanggar syarat pas manakala seorang lagi dipercayai tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kesemua tangkapan direman selama 14 hari bermula semalam hingga 20 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau.-UTUSAN










