SHAH ALAM: Seorang wanita yang menjadi mangsa tikam dekat tandas sebuah surau berhampiran sekolah agama rakyat di Kelana Jaya semalam dikatakan hanya singgah di sana dan mahu menunaikan solat Zuhur sebelum diserang lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’.
Bagaimanapun, ketika kejadian, jeritan mangsa didengari seorang guru besar di sekolah berkenaan yang sebelum itu bertindak memeriksa keadaan di tandas berkenaan sebelum dia diserang suspek sama.
Menurut Ezzatul Umairah Ezlyshah, 29, yang merupakan guru Sekolah Agama Rakyat KAFA Ehsaniah itu berkata, anak guru besarnya itu yang berada di sekolah sama ketika kejadian berlaku memberitahu ibunya terdengar jeritan orang meminta tolong.
“Namun, ustazah (guru besar) ternampak seorang wanita berada di tembok tandas surau dan sempat bertanyakan suspek ‘kenapa’ sebelum dilibas dengan pisau sama.
“Saya terkejut melihat ustazah cedera dikelar pada perut dan tangan selepas terserempak dengan suspek yang dipercayai turut mencederakan seorang lagi wanita lain. Mujur pisau dilibas suspek itu tidak mencederakan lehernya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Kecemasan Hospital Shah Alam (HSA), semalam.
Jelasnya, susulan kejadian tersebut dia membuat laporan polis. Ketika kejadian beberapa guru termasuk guru besar berusia 50-an dan murid berada di kantin serta surau tersebut pada waktu rehat, kira-kira pukul 1.40 petang.
Dalam pada itu, Ezzatul Umairah memberitahu, suspek memakai pelitup muka dan menaiki sebuah kereta yang diletakkan di sekolah berkenaan.
“Wanita itu bukan guru atau pelajar sekolah ini dan pergi ke surau untuk menunaikan solat Zuhur. Dia dipercayai sedang mengambil wuduk.
“Saya diberitahu mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dan perut itu turut dibawa ke HSA bagi rawatan lanjut,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan dua wanita termasuk jurujual telefon bimbit berusia 26 tahun cedera diserang lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’ dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar yang mengesahkan kejadian itu berkata siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










