TANJUNG MALIM: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari di sini meningkat kepada 108 orang setakat ini berbanding 31 orang sebelum ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Husin berkata, terdapat pertambahan seramai 77 mangsa melibatkan mereka yang menetap di Kampung Leonardo, Kampung Kampung Ketoyong dan Kampung Berop.
“Seramai 20 keluarga dipindahkan ke PPS SMK Johari setakat petang ini. Jumlah mangsa Kampung Sri Behrang dipindahkan ke PPS Dewan Kampung Pauh Behrang Stesen kekal dengan lima mangsa membabitkan sebuah keluarga.
“Selain itu, hasil pemantauan mendapati keadaan cuaca masih mendung dan sungai berdekatan juga semakin surut berbanding hujan lebat sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, pihaknya akan melakukan pemantauan secara berkala di lokasi-lokasi terjejas supaya mangsa banjir dapat dipindahkan dengan selamat. – UTUSAN










