JAKARTA: Sebuah bot penumpang karam di perairan berhampiran sebuah pulau di Indonesia, mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa, manakala 24 lagi masih hilang, menurut agensi mencari dan menyelamat tempatan pada Khamis.
Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Muhammad Arif Anwar, berkata, kegagalan enjin menyebabkan bot itu karam ketika belayar berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Pulau Sulawesi.
Kru bot gagal membaiki enjin tersebut, menyebabkan nakhoda menghubungi pihak berkuasa tempatan untuk meminta operasi pemindahan, katanya kepada AFP.
Menurut Arif, bot itu sudah pun tenggelam sebahagiannya ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi pada Khamis.
Seramai 49 orang berjaya diselamatkan, seorang wanita ditemui maut, manakala 24 lagi masih dalam operasi pencarian, katanya.
Beliau berkata, bot itu direkodkan membawa 50 penumpang. Namun, semakan lanjut mendapati jumlah sebenar individu di atas bot adalah 74 orang.
Jumlah sebenar penumpang sesebuah bot sering kali tidak sepadan dengan jumlah yang direkodkan di Indonesia..
Sebuah kapal Tentera Laut Indonesia telah dikerahkan untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, yang dijangka diteruskan hingga ke waktu malam, kata Arif.
Kemalangan di laut kerap berlaku di negara kepulauan Asia Tenggara itu, sebahagiannya disebabkan standard keselamatan yang longgar dan keadaan cuaca yang buruk.
Pada Januari lalu, tiga pelancong Sepanyol maut apabila bot yang dinaiki mereka karam di perairan timur Indonesia, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun diisytiharkan hilang selepas pihak berkuasa menamatkan operasi pencarian. – AFP










