Malaysia perkukuh kepentingan dalam rantaian bekalan semikonduktor global

Malaysia perkukuh kepentingan dalam rantaian bekalan semikonduktor global

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global semakin penting susulan pembukaan kompleks pembuatan semikonduktor 200mm Power Fab silicon carbide (SiC) utama dunia di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara kini boleh berbangga apabila kemudahan pengeluaran semikonduktor milik Infineon Technologies itu adalah yang terbesar dan hasil produknya dieksport ke peringkat global.

Menurutnya, keyakinan pelabur juga dapat dilihat apabila syarikat gergasi dari Jerman itu meningkatkan pelaburannya melalui pembinaan fasiliti tambahan bernilai lebih RM34 bilion di Kulim.

“Projek luar biasa Infineon ini akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab semikonduktor global yang semakin meningkat dan ini menjadi daya tarikan utama pelabur ke negara ini.

“Ini juga akan menyokong usaha Malaysia dalam meningkatkan kecekapan dalam pelbagai industri lain termasuk dalam bidang pembuatan kereta elektrik, bateri dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya ketika merasmikan bangunan baharu Infineon Technologies (Kulim) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Infineon Technologies AG, Jochen Hanebeck.

Tambah Perdana Menteri, kemudahan baru milik Infineon itu akan meningkatkan imej Malaysia di peringkat global dalam menarik lebih banyak pelaburan bertaraf dunia.

Justeru, beliau mahu semua pihak terlibat agar bergerak lebih pantas dalam meningkatkan kecekapan terhadap industri elektrik dan elektronik (E&E) bagi mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar utama semikonduktor dunia.

“Saya percaya semua pihak berkongsi pandangan sama di mana kita tidak boleh meletakkan sasaran menjadi pemain industri yang berjaya dalam teknologi baharu jika kita masih bekerja pada tahap sama.

“Terdapat beberapa cabaran lain, tetapi saya yakin kerajaan akan melakukan apa sahaja untuk sentiasa bekerjasama bersama pelabur dalam memastikan negara ini sentiasa menarik minat mereka,” katanya.

Menurut Anwar, sektor E&E menjadi antara industri penting kepada negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi sejak ia mula diperkenal pada era 70-an. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN