Malam Apresiasi Puisi Merdeka Pulau Pinang 2024 'luar biasa'

Malam Apresiasi Puisi Merdeka Pulau Pinang 2024 ‘luar biasa’

AHMAD Fuzi (enam dari kiri) bersama tetamu serta kenamaan lain pada Malam Apresiasi Puisi Merdeka peringkat negeri di UiTM Pulau Pinang, malam tadi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Malam Apresiasi Puisi Merdeka sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat negeri di sini pada tahun ini meriah dengan kehadiran lebih 700 tetamu, malam tadi.

Dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Pulau Pinang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), program bertemakan Malaysia Madani: Jiwa Merdeka itu merupakan edisi ketiga sejak ia mula diperkenalkan kira-kira dua tahun yang lalu.

Presiden Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Datuk Dr. Sohaimi Abdul Aziz berkata, berbanding dua edisi lalu, edisi penganjuran Malam Apresiasi Puisi Merdeka kali ini disifatkan sebagai luar biasa kerana ia mendapat kerjasama yang sangat baik daripada beberapa pihak lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, antara yang terlibat secara tidak langsung termasuk kerajaan negeri Pulau Pinang, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang serta Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang selaku tuan rumah.

“Untuk tahun ini, pengisiannya kita pelbagaikan. Ada membaca (dan mendeklamasi) sajak, puisi dan seloka dan lain-lain (termasuk persembahan pentas dan sebagainya).

“Secara umumnya, penganjuran (Malam Apresiasi Puisi Merdeka) kali ini lebih besar skalanya dan walaupun kos (penganjuran) meningkat, saya berpuas hati kerana ia memberikan impak yang besar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, program yang bermatlamat untuk membakar semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang kaum itu turut disertai oleh beberapa pemimpin negeri serta kenamaan lain.

Antara yang kelihatan termasuk Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid; Pengerusi Perhubungan Angkasa negeri, Datuk Mohd. Jamil Othman serta Pengarah JPNPP, Datuk Abdul Said Hussain.

Hadir sama wakil-wakil jabatan, ahli-ahli Angkasa Pulau Pinang serta kumpulan pelajar dari beberapa sekolah di seluruh negeri ini.

Pada majlis tersebut, salah seorang daripada Exco kerajaan negeri iaitu Fahmi Zainol turut mengambil kesempatan untuk mendeklamasikan puisi berkaitan kemerdekaan sebelum acara mendeklamasi puisi itu diakhiri dengan pendeklamasi terakhir iaitu penulis merangkap tokoh sastera terkenal, Datuk Dr. Lim Swee Tin.

Dalam pada itu, Mohd. Jamil dan Abdul Said turut senada dengan Sohaimi dan menyifatkan Malam Apresiasi Puisi Merdeka pada tahun ini paling meriah dan mampu menyemarakkan semangat merdeka dalam jiwa setiap para hadirin yang mengambil bahagian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×