GEORGE TOWN : Sejak sembilan tahun lalu, bulan kemerdekaan negara membawa rezeki berganda buat usahawan butik, Mahani Udit, 34, apabila baju-baju yang dihasilkan di butiknya di Bukit Jambul, di sini, laris ditempah pelanggan dan pemborong.
Malah, pada tahun ini, tempahan baju kanak-kanak lelaki dan perempuan sempena merdeka dari butik Mahani mencecah 48,000 helai berbanding hanya 30,000 helai pada tahun lepas.
Mahani berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 38,000 helai baju merdeka itu diedar kepada pemborong di seluruh negara manakala selebihnya iaitu kira-kira 10,000 helai baju lagi akan diletakkan di butiknya di Bukit Jambul untuk dijual.
“Saya dan 20 kakitangan butik memulakan operasi menjahit baju-baju merdeka ini sejak Mac lalu sehingga Julai dan selepas siap, saya edarkan baju-baju ini kepada pemborong.
Untuk pengetahuan, saya menerima tempahan secara pukal daripada para pemborong dan pemilik butik di seluruh negara selain menerima tempahan daripada pelanggan tetap yang meminati baju-baju yang mempamerkan semangat kemerdekaan,” katanya di sini, hari ini.
Mahani mengakui, meskipun tempahan yang diterimanya meningkat pada tahun ini, namun, dia turut berdepan dengan persaingan daripada ramai pemilik butik yang turut menghasilkan pakaian sempena hari merdeka.
“Saya memang perlu turunkan harga bagi pastikan pakaian yang dihasilkan dapat dijual kepada pelanggan. Tahun lepas, saya dapat jual sehelai pakaian pada harga permulaan RM100, tetapi, tahun ini saya perlu jual dengan harga permulaan antara RM50 hingga RM800 mengikut fesyen dan material kain yang digunakan,” katanya.
Bagi seorang ibu yang merupakan pelanggan tetap butik Mahani, Nurliyana Ruslan, 29, setiap tahun dia akan membeli pakaian bertemakan kemerdekaan itu buat dua anak perempuannya, Nur Azkyra Melissa Zulhilmi, 7, dan Nur Aafia Sofea, lima tahun kerana kedua-dua anaknya sangat gemar melaram dengan pakaian merdeka.

“Boleh dikatakan saya adalah pelanggan tetap butik Mahani, kebetulan pula anak sulung saya, Nur Azkyra Melissa dilahirkan pada 31 Ogos. Jadi, sejak usianya setahun, kami memang membuat sambutan hari lahirnya bertemaan kemerdekaan.
“Memang di butik milik Mahanilah saya akan cari pakaian bertemakan kemerdekaan untuk gembirakan dan menyemai semangat kemerdekaan buat anak-anak saya,” katanya.-UTUSAN










