KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa lebih enam juta liter bahan api diesel Malaysia dianggarkan diseludup ke negara jiran Singapura, sebulan.
Dakwa yayasan terbabit, perbuatan tersebut terbongkar hasil pemantauan Biro Pemantau YPNM di Johor dan juga Singapura.
Bermula bulan lalu, anggota YPNM yang menjalankan risikan turut mengekori lori tangki digunakan untuk membawa masuk diesel dari Johor ke Singapura. Bagaimanapun lokasi simpanan diesel daripada lori tangki itu tidak dapat dikesan.
Pegawai pemantau YPNM didakwa turut mengesan dan mengambil gambar aktiviti penjualan diesel Malaysia yang dilakukan secara terbuka di negara berkenaan menggunakan lori tiga tan dan bas.
Presiden YPNM, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, minyak diesel yang dipercayai dibawa masuk dari Johor itu dihantar ke negara itu menggunakan lori tangki dengan surat permit eksport yang disalahgunakan sindiket terbabit.
Selain itu, beliau mendakwa, sindiket didalangi warga Singapura dan mungkin melibatkan rakyat negara ini turut menyeludup diesel menerusi jalan laut menggunakan tongkang.
Sindiket ini dakwanya, dipercayai menggunakan lesen permit eksport yang sah untuk mengeksport diesel bersubsidi dibeli di stesen-stesen minyak di Malaysia.
“Sebelum ini kita hanya dengar dan diuar-uarkan tentang minyak diesel yang diseludup dan dijual secara terbuka oleh sindiket di Selatan Thailand.
“Di Singapura pun berlaku perkara yang sama, sindiket menggunakan lori bersaiz tiga tan, parkir lori mereka di lokasi tertentu menunggu pembeli diesel dalam kalangan pemandu lori dan juga bas.
“Modus operandi sindiket beli diesel di pam minyak di Johor RM3.30 seliter. Lepas itu jual kepada pemborong RM3.80. Pemborong seludup ke Singapura dan jual kepada sindiket di sana melebihi RM5 seliter.
“Sindiket di Singapura pula jual dengan harga lebih murah daripada pam minyak secara gelap di sana. Harga satu liter minyak diesel di Singapura adalah SGD$ 2.55 bersamaan RM8.49 seliter,” dakwanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Firdaus mendakwa, sindiket menjual diesel seludup dari Malaysia itu dianggarkan memperoleh keuntungan kira-kira RM30 juta sebulan.
“Biarpun kerajaan Malaysia melaksanakan penyelarasan subsidi diesel, namun ia tidak menghalang tindakan sindiket menyeludup bahan api ini walaupun harganya RM3.30 seliter ketika ini, mereka masih mampu memperoleh keuntungan lumayan,” katanya.
Beliau berkata, bagi membanteras kegiatan itu, kerajaan dicadang supaya menubuhkan jawatankuasa khas merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Peguam Negara.
Jelasnya, jawatankuasa itu perlu membuat tindakan pantas dan audit forensik terhadap pengeksport minyak diesel ke Singapura yang menggunakan dokumen palsu.
“Jabatan Laut perlu dikerah memantau semua tongkang dan bot yang membawa diesel seludup ke Singapura,” katanya.
Dalam pada itu ujarnya, YPNM juga mencadangkan kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat dan membawa ke muka pengadilan dalang yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan diesel.
“Perkara ini bukan baharu tetapi sudah berpuluh tahun berlaku berlaku. Selama ini cuma penyeludup kecil atau bilis sahaja yang ditangkap dan didakwa pihak berkuasa.
“Dalang utama atau jerung-jerung besar masih bebas melakukan kegiatan mereka. Mereka ini dilindungi oleh tangan-tangan ghaib yang hidup mewah bagi menghalalkan perbuatan sindiket berkenaan,” dakwanya.
Beliau berkata, suruhanjaya diraja itu juga perlu kerana sehingga kini tidak ada mana-mana jabatan dalam agensi kerajaan tampil ke hadapan mengaku dan mengambil tanggungjawab kesilapan menangani ketirisan subsidi diesel negara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, tiada aduan atau laporan diterima kerajaan setakat ini berhubung dakwaan berkenaan.
“Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedia siasat jika menerima aduan tentang perkara itu,” katanya. – UTUSAN










