PUTRAJAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan melakukan jelajah ke seluruh negara bagi memastikan setiap negeri mematuhi piawaian antarabangsa termasuk aspek Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pematuhan terhadap piawaian itu penting kerana sebarang ketidakpatuhan boleh menggugat kebolehpasaran produk agrikomoditi negara di pasaran antarabangsa.
Beliau berkata, pihaknya mengakui setiap negeri mempunyai peraturan tanah yang berbeza-beza justeru, piawaian itu perlu dijelaskan dengan betul dan tepat.
“Soal (peraturan) tanah ini berbeza di setiap negeri dan mereka (kerajaan negeri) meminta kementerian untuk turun ke setiap negeri bagi menjelaskan perkara (piawaian) itu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Exco-Exco Pertanian Negeri di sini, hari ini.
Pada masa sama, Johari berkata, pihaknya juga perlu memastikan hutan simpan di seluruh negara tidak lagi diteroka untuk sebarang bentuk tanaman dan perladangan.
Menurutnya, ketika ini, rizab hutan simpan negara di seluruh negara berada pada tahap 54 peratus berbanding 50 peratus yang ditetapkan menerusi Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992.
“Setakat ini, negara ada rizab 10.4 juta hektar hutan simpan di seluruh negara dan ia mematuhi piawaian peratusan rizab yang ditetapkan piawaian antarabangsa.
“Jika ia (hutan simpan) terus diteroka, kita akan dianggap sebagai sebuah negara yang gagal dan seluruh pengeluaran komoditi akan berdepan masalah untuk dieksport,” katanya.
Dalam pada itu, Johari berkata, pihaknya juga perlu memastikan setiap negeri mematuhi isu status tanah yang tidak padan dengan komoditi yang diusahakan.
“Kami dapati ada tanah yang ditanam kelapa sawit tetapi status tanah didaftarkan atas tanaman lain termasuk getah. Kalau nak dapat sijil kemampanan antarabangsa, salah satu prasyaratnya adalah mematuhi jenis tanaman yang telah didaftarkan,” katanya.
Sementara itu, Johari berkata, beberapa elemen lain turut diambil kira termasuk melaksanakan
usaha-usaha pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar di kawasan nilai pemuliharaan tinggi (HCV) dan menangani isu buruh paksa dan hak asasi manusia.
Pada 2023, Sektor Agrikomoditi telah menyumbang sebanyak RM83.16 bilion atau sekitar 5.31 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.-UTUSAN









