SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkasakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan membantu pemasaran produk-produk tempatan di luar negara.
Pemerkasaan tersebut akan dilakukan menerusi kerjasama dengan rangkaian pasar raya besar di luar negara seperti Lotus’s, Lulu dan AEON.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, dengan kerjasama tersebut, beliau mahu melihat produk-produk tempatan memenuhi rak-rak pasar raya di luar negara.
“Usaha ini dilakukan untuk memperkenalkan lebih banyak produk tempatan di pasar raya di luar negara seperti di negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Jepun dan China.
“Kementerian juga akan mengenal pasti lebih banyak pasar raya yang akan terlibat di empat negara tersebut dalam melonjakkan nilai jualan barangan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Setia Alam, hari ini.
Jelasnya, laporan penuh melibatkan senarai produk dan syarikat yang terlibat dalam pengantarabangsaan produk tempatan akan dimaklumkan pada penghujung tahun ini.
“Selain menggerakkan kempen KBBM, KPDN turut menyediakan program seperti latihan pembangunan perniagaan, program padanan perniagaan dan penandaan logo barangan Malaysia.
“Program-program tersebut memfokuskan bimbingan kepada peningkatan kemahiran dan pertumbuhan khususnya kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS),” ujarnya.
Dalam pada itu , Armizan memberitahu KPDN amat menggalakkan pengusaha tempatan untuk menggunakan platform dalam talian bagi mempromosi, memasarkan dan sekali gus melonjakkan nilai jualan produk-produk mereka.
“Selain komitmen untuk memasarkan produk negara ke luar negara, KPDN turut memantapkan program latihan pembangunan perniagaan dan penandaan logo barangan Malaysia.
“Ia bertujuan untuk memperkukuhkan penjenamaan produk Malaysia dan memastikan pertumbuhan khususnya bagi PMKS,” katanya. – UTUSAN
ARMIZAN Mohd. Ali mencuba salah satu produk tempatan pada perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2024 Peringkat Lotus’s Setia Alam di Shah Alam, Selangor, hari ini. – UTUSAN / AFIQ RAZALI










