Kes Hafidz cedera bekas isteri  diteruskan walaupun laporan ditarik balik

Kes Hafidz cedera bekas isteri  diteruskan walaupun laporan ditarik balik

Hafidz Roshdi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR: Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini memaklumkan  kes pelakon Hafidz Roshdi mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri  akan diteruskan walaupun selepas wanita itu menarik balik kes itu.

 

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

 

“Hari ini adalah ditetapkan untuk mendapatkan status (berhubung laporan tarik balik kes). Saya telah menerima arahan untuk meneruskan pendakwaan dan mohon mahkamah menetapkan satu tarikh perbicaraan,” kata Asmah.

 

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Hafidz terkejut   kerana sebelum ini pengadu dalam kes itu  telah menarik balik laporan yang dibuat pada 6 Julai lalu.

 

“Saya agak terperanjat apabila dimaklumkan pendakwaan akan meneruskan kes, namun pihak pembelaan tetap menghormati apa yang dinyatakan pendakwaan (teruskan kes),” kata peguam itu.

 

Berikutan itu, demi keadilan, pihak pembelaan berhasrat untuk membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

 

“Kami perlu bawa perkara ini kepada perhatian pihak AGC, maka kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu, untuk representasi berkenaan,” kata peguam itu.

 

Semasa prosiding, Asmah tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan representasi tersebut.

 

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Siti Fatimah menetapkan 14 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan keputusan representasi itu.

 

Sementara itu, Akberdin ketika ditemui di luar mahkamah selepas tamat prosiding berkata, representasi yang dihantar kepada AGC supaya pertuduhan terhadap anak guamnya, ditarik balik.

 

Sebelum ini, mahkamah telah dimaklumkan mengenai laporan tarik balik kes namun hari ini pendakwaan dan mahkamah akan menentukan sama ada kes itu akan diteruskan atau sebaliknya.

 

Dalam prosiding hari ini, Nurul Shuhada tidak hadir di mahkamah.

 

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu  tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

 

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pada pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu (2023) mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

 

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama.

 

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

 

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

 

Untuk rekod, Hafidz dan Nurul Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN