PETALING JAYA: Kertas siasatan membabitkan pemain bola sepak amatur yang mengacukan objek tajam ketika perlawanan bola sepak di KLFA Football Centre Isnin lalu dirujuk pejabat Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohammad Lazim Ismail berkata, kertas siasatan sudah dirujuk dengan cadangan pemain bola sepak itu dituduh.
“Cadangan pertuduhan mengikuf Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Tarikh pertuduhan akan dikemukakan kelak. Suspek kini dibebaskan dengan jaminan selepas tamat reman hari ini manakala teman wanita suspek masih dalam tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),”katanya dalam kenyataan hari ini.
Jumaat lalu, lelaki berusia 22 tahun itu ditahan bersama teman wanitanya berusia 21 tahun.
Pasangan itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sebuah rumah di Klang, Selangor, pada pukul 6.30 petang.
Hasil siasatan, suspek mengaku mengeluarkan senjata tajam iaitu kerambit bagi mempertahankan diri dalam kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.- UTUSAN










