PETALING JAYA: Kerangka kawal selia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial diwartakan dan berkuat kuasa pada hari ini bagi memerangi peningkatan kes jenayah siber.
Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, langkah tersebut diambil bagi memerangi jenayah penipuan, judi dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang di berlaku di alam siber.
“Menerusi penguatkuasaan kerangka ini, semua pemberi perkhidmatan pesanan internet dan pemberi perkhidmatan media sosial yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Mana-mana pemberi perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen selepas tempoh tersebut adalah melakukan suatu kesalahan, dan tindakan perundangan sewajarnya boleh diambil,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, MCMC berkata, pihaknya akan membangunkan garis panduan komprehensif yang memperincikan keperluan etika dan tanggungjawab mesti dipatuhi secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan di Malaysia semasa tempoh penangguhan.
Jelasnya, pemberi perkhidmatan dikehendaki untuk memperkenalkan langkah-langkah yang kukuh berkaitan perlindungan data pengguna dan pengesahan umur untuk menghalang penggunaan platform oleh pengguna di bawah umur 13 tahun, kaedah menangani kemudaratan dalam talian serta meningkatkan penyederhanaan kandungan.
“Dalam membangunkan garis panduan ini, rundingan awam akan dijalankan oleh MCMC. Semua pihak berkepentingan termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan bukan kerajaan (NGO), pemberi perkhidmatan dan orang awam dijemput untuk memberikan maklum balas apabila proses rundingan awam dimulakan,” katanya.
Sementara itu, MCMC turut menegaskan bahawa pelaksanaan tersebut tidak akan memberi kesan kepada pengguna dan sebaliknya hanya kepada penyedia platform yang perlu mendapatkan lesen sahaja.
“Pengguna sebaliknya akan mendapat manfaat dengan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan dan pengalaman yang lebih baik hasil pematuhan terhadap undang-undang Malaysia secara proaktif oleh pemberi perkhidmatan.
“Pengguna boleh menjangkakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat serta saluran aduan yang lebih jelas berkaitan kemudaratan dalam talian,” jelasnya.-UTUSAN









