Kerajaan beri 2 minggu PMKS buat pelaporan pencapaian

Kerajaan beri 2 minggu PMKS buat pelaporan pencapaian

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (tiga dari kanan) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi , Datuk Ramanan Ramakrishnan (dua dari kiri) serta Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Rizal Nainy (dua dari kanan) dalam Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS di Ibu Pejabat SME Corp., Platinum Sentral di sini, hari ini.-UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi tempoh dua minggu mulai hari ini kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di bawah 40 program membabitkan peruntukan sebanyak RM32.8 bilion supaya membuat pelaporan pencapaian kepada Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini sebanyak 286 inisiatif serta program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan berjumlah RM15.06 bilion telah dilaporkan dalam SMEIPA sehingga separuh penggal tahun 2024.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 10.8 peratus berbanding tahun 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelaporan itu selama ini tidak diwajibkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Selama ini laporan ini tidak wajib tetapi mulai hari ini, ia diwajibkan. Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan tarik balik peruntukan (akan dikenakan) kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bilangan 3 Tahun 2024, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Timbalannya, R. Ramanan; Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy.

Pada mesyuarat itu, ahli SEK-MPUPK telah bersetuju untuk mewajibkan pelaporan pencapaian semua inisiatif keusahawanan dan pembangunan PMKS di semua peringkat kementerian, agensi, dan kerajaan negeri.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, tiada sebab untuk usahawan yang terbabit dalam program tersebut untuk tidak membuat pelaporan tersebut selepas diberikan masa dua minggu bagi menyelesaikannya.

“Mungkin mereka tidak membuat pelaporan itu kerana terlepas pandang atau belum menyelesaikan program tersebut tetapi masa diberikan adalah dua minggu, tak ada sebab untuk tidak menyiapkannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro iaitu sebanyak 16.9 peratus daripada 923,667 perusahaan pada tahun 2022 kepada 767,421 perusahaan pada tahun lalu.

“Bilangan perusahaan bersaiz kecil meningkat sebanyak 35.8 peratus dan perusahaan bersaiz sederhana bertambah sebanyak 7.9 peratus.
“Ini adalah satu petunjuk bahawa PMKS tempatan telah mula beralih ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN