KEMAMAN : Pasukan Perkhidmatan Kesihatan Mental Sokongan Psikososial Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman turun padang memberi khidmat sokongan psikologi kepada keluarga dan mangsa yang terlibat dalam nahas bot karam yang dipercayai dilanggar tongkang pada Ahad lalu.
Pegawai Perubatan dan Kesihatan Dr Nadhirah Nazarudin berkata, sokongan psikologi penting bagi memulihkan emosi dan mental mereka yang terlibat terutamanya mangsa.
“Kadangkala bila terjadi insiden begini, mangsa dan keluarga pastinya trauma serta kita berperanan untuk memberi sokongan kepada mereka.
“Ada antara keluarga mangsa yang turut mengalami tekanan sebab ada pihak lain seperti rakan-rakan yang menghubungi mereka untuk bertanya keadaan sebenar, tanpa menyedari ia sebenarnya mengganggu mereka.
“Dalam keadaan begini, mereka perlu diberi ruang untuk berehat dan bertenang,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Hadapan Carilamat di Zon Maritim Kemaman, hari ini.
Dr. Nadhirah berkata, tiga petugas kesihatan sudah mula memberi khidmat sokongan tersebut sejak hari pertama kejadian.
Menurutnya, selain menyantuni keluarga, mereka turut memberi khidmat sokongan kepada pasukan penyelamat yang memerlukan khidmat nasihat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi Ahad, bot yang dinaiki tujuh pemancing dan dua tekong karam selepas dipercayai dilanggar tongkang pada kedudukan tujuh batu nautika dari Kuala Kemaman.
Tragedi itu, mengorbankan dua mangsa iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, yang berasal dari Selayang, Selangor dan tekong tempatan, Shahril Ismail,50.
Setakat ini, dua lagi mangsa yang masih belum ditemui ialah Yusof Kassam,66, dan Aina Husna Mohamad Husaini, 25.
Lima mangsa Rosnawi Harun, 50, Ain Farhana Mohamad Husaini,30, Haziah Harun, 63, Mat Ali Alahan, 66, dan tekong, Saipul Ridzuan Osman, 50, terselamat. – UTUSAN










