Kedah sekadar seri dengan Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Kedah sekadar seri dengan Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terus kempunan untuk mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut apabila sekadar seri 2-2 dengan Negeri Sembilan FC (NSFC) di laman sendiri, sebentar tadi.

Pasukan tuan rumah menunjukkan keazaman untuk bangkit setelah dibelasah JDT minggu lalu apabila mereka setidak-tidaknya mencipta tiga peluang bahaya dalam tempoh 10 minit pertama melalui Sony Norde, Halim Saari serta Milos Gordic.

Hasrat penyokong tuan rumah meraikan gol awal tidak kesampaian apabila rembatan Sony pada minit ke-5 berjaya ditampan penjaga gol NSFC, Aqil Abdul Razak manakala percubaan Halim dan Milos pada minit ke-8 serta 9, sedikit melepasi palang meskipun kedua-duanya tidak dikawal ketat.

Pelawat melakukan serangan balas pada minit ke-12 menerusi gandingan dua pemain import, Hein Htet Aung serta Mika Junco dari sebelah kanan. Tolakan dilakukan Mika yang menerima hantaran lintang dari Htet Aung bagaimanapun terlalu lemah untuk menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Sang Kenari akhirnya dikejutkan dengan jaringan pembukaan oleh pelawat pada minit ke-45. Sepakan penjuru diambil pemain import dari Jepun, Takumi Sasaki ditanduk Jacque tanpa dapat diselamatkan Kalamullah.  

Bersambung babak kedua, permainan ditampilkan KDA FC lebih ‘menjadi’ apabila Ketua Jurulatih mereka, Nafuzi Zain membawa masuk sayap lincah, Fayadh Zulkifli bagi menggantikan Milos yang dilihat ‘gagal berfungsi’.

Gol penyamaan diidamkan KDA FC hadir pada minit ke-53 menerusi Sony yang melakukan gerakan solo sebelum melepaskan rembatan kaki kiri melepasi jangkauan Aqil yang menceriakan kira-kira 1,600 penonton.

Ketangkasan Aqil menjaga gawang gagal menyelamatkan pintu gol NSFC daripada dibolosi kali kedua seminit kemudian melalui tandukan Cleylton bagi membolehkan KDA FC mendahului 2-1.

Ketika KDA selesa mengasak lawan, kesilapan Syafiq Ahmad membawa padah setelah hantarannya yang tidak sampai kepada rakan sepasukan membolehkan Htet Aung merampas bola lalu melorongkan kepada Jacque untuk NSFC menyamakan kedudukan 2-2.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN