KUALA LUMPUR: Terkena tempias kontroversi keruntuhan rumah tangga Syamsul Yusof dan Ira Kazar, pelakon veteran, Kazar Saisi, 65, reda dengan episod hitam yang menimpa anak perempuannya itu.
Perkara itu dikongsikan oleh penyanyi dan pelakon, Achong Sweetchild, 50, yang mengakui telah lama akrab dengan Kazar dan mengenali keluarganya secara dekat.
Menurut Achong, dia tidak menolak, sejak dilanda kontroversi berkaitan anaknya, Kazar tidak mahu membuka mulut kepada umum dan memberikan sebarang komen kerana enggan memperbesarkan lagi isu berkenaan.
“Saya dan isteri boleh dikatakan rapat dengan Kazar, saya memanggilnya ayah dan keluarganya juga sudah kami anggap seperti keluarga sendiri. Malah, kami juga mengenali anak-anaknya daripada kecil.
“Kalau ditanya keadaan terkini Kazar, ayah, bagi saya macam itulah dia. Tak dinafikan kami tempat dia mengadu dan bercerita, tetapi kami hormati dia untuk tidak menceritakan hal peribadinya kepada orang ramai.
“Apa yang boleh saya katakan, dia runsing dan sedih dengan apa yang terjadi. Tetapi, dia ada katakan kepada kami bahawa dia reda dengan segalanya dan tak mahu ulas secara terbuka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelas Achong lagi, Kazar juga ada berpesan kepadanya dan isteri supaya tidak lekas memberi respons kepada warganet sekiranya turut berasa terkesan dengan kata-kata cemuhan mereka terhadap keluarga.
“Macam saya katakan, kami dah macam keluarga. Jadi jika ada orang mengutuk keluarganya, kami juga akan terasa. Tetapi ayah pesan, jangan respons, jangan layan kata-kata orang.
“Baginya, biarlah dia yang kena, keluarganya yang kena. Saya sendiri sedih tengok dia jika dia sedang bersedih. Ada ketika, dia mengadu kepada kami, saya yang mendengarnya pun bergenang air mata.
“Dia pesan saya jangan bersedih dengannya. Saya pun peluk dan dan pesan jangan banyak fikir,” katanya.
Selain itu, kongsi Achong, dia yakin antara penguat semangat Kazar dalam mengharungi ujian ini adalah keberadaan cucu-cucunya. – UTUSAN










