Kaut RM400 juta, jual minyak diesel milik nelayan

Kaut RM400 juta, jual minyak diesel milik nelayan

Serbuan yang dijalankan secara bersama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Kegiatan satu sindiket mengaut keuntungan RM400 juta dengan menyeleweng minyak diesel milik persatuan nelayan terbongkar selepas sebuah depoh penyimpanan minyak yang di Sungai Bidut, Sarawak digempur Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lebih mengejutkan, depoh yang dipercayai sudah beroperasi sejak 2012 juga telah membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak agar tiada sebarang tindakan diambil.

Menerusi serbuan dijalankan secara bersama oleh Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM selain Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu, sebanyak dua tongkang serta beberapa tangki minyak membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel disita.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sindiket berkenaan dikatakan mengaut keuntungan dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.

Kata beliau, sindiket ini dipercayai telah memindahkan minyak diesel berkenaan dari tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang yang berlabuh di depoh berkenaan.

“Kemudian, minyak dari tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya di sini.

Mengulas lebih lanjut, Azam berkata, dalam serbuan itu, terdapat dua tongkang yang sedang berlabuh dan masing-masing sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter minyak diesel.

“Selain itu tedapat 30 tangki minyak yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel terbabit,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil operasi dijalankan, lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika keterangan mereka diambil sekitar pukul 4 petang hari ini.

Jelas beliau, mereka ditahan terdiri daripada empat pengusaha stesen minyak yang dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel itu.

“Seorang orang tengah yang dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar juga ditahan,” ujarnya.

Azam memberitahu, SPRM juga menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel di depoh terbabit.

“Kesemua sitaan minyak diesel terbabit diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah.

“Kesemua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961,”
katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×