Jemaah ditipu boleh tuntut ganti rugi di tribunal

Jemaah ditipu boleh tuntut ganti rugi di tribunal

FUZIAH SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jemaah haji atau umrah yang ditipu ejen-ejen tidak bertanggungjawab boleh membuat tuntutan tebus rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM). 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, tuntutan boleh dilakukan sama ada melalui dalam talian di laman sesawang https://ttpm.kpdn.gov.my/portal atau hadir ke pejabat TTPM di negeri masing-masing.

Menurut beliau, secara keseluruhan, sebanyak 562 kes tuntutan tebus rugi berkaitan penipuan pakej umrah telah difailkan di TTPM seluruh Malaysia dari 1 Januari hingga 31 Julai lepas dan 413 kes tuntutan telah selesai. 

“Di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599], jumlah maksimum tuntutan tebus rugi adalah RM50,000.00. 

“Sekiranya jumlah yang hendak dituntut melebihi RM50,000.00 maka tuntutan masih boleh difailkan di TTPM akan tetapi nilaian tuntutan ialah untuk nilai maksimum RM50,000.00 dan baki tuntutan selebihnya tidak boleh dituntut melainkan dipersetujui oleh Penentang. 

“Bagaimanapun, ia sedikit sebanyak dapat mengembalikan sejumlah kerugian yang dihadapi para jemaah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media berhubung isu penipuan yang dialami oleh jemaah haji oleh ejen-ejen yang tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, Fuziah berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil serius perkara ini kerana ia melibatkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadah umrah dan haji di Tanah Suci. 

Katanya, kementerian komited untuk memastikan tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penipuan dan menasihatkan agar semua jemaah yang menjadi mangsa penipuan segera membuat aduan rasmi.

“Setiap aduan yang diterima akan disiasat dengan teliti, dan KPDN akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. 

“KPDN juga ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan melakukan semakan yang teliti sebelum membuat sebarang pembayaran kepada ejen-ejen umrah dan haji. 

“Pastikan ejen yang dipilih berdaftar dengan Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan (MOTAC) juga mempunyai rekod yang baik,” katanya. 

Jelas Fuziah, sejumlah 39 aduan berkaitan dengan penipuan pakej umrah dan haji diterima dalam tempoh dari 1 Januari hingga 25 Ogos lalu. 

Ujarnya, kesemua aduan itu telah diambil tindakan oleh pihak KPDN dan dirujuk ke TTPM bagi tindakan lanjut. 

“Sebanyak 183 kertas siasatan telah dibuka di bawah kesalahan Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 berkaitan ketidakpatuhan award yang telah dikeluarkan oleh TTPM kepada pihak penentang dan sejumlah 59 kertas siasatan telah berjaya diselesaikan.

“KPDN ingin sekali lagi mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan membuat semakan yang sewajarnya melalui jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan sebelum mengambil keputusan untuk membuat bayaran dan menyertai mana-mana pakej-pakej yang ditawarkan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN