JAIPk diarah beri penjelasan lawatan rumah ibadat bukan Islam - Utusan Malaysia

JAIPk diarah beri penjelasan lawatan rumah ibadat bukan Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuat penjelasan berhubung kursus lawatan ke rumah ibadat bukan Islam, baru-baru ini, yang tular dalam media sosial sehingga menimbulkan kontroversi.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkat,  ia bertujuan membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan yang timbul termasuk kenyataan yang dikeluarkan oleh salah seorang peserta kursus tersebut, yang dirakam dalam video tersebut.

“JAIPk juga diarahkan untuk mengkaji semula modul kursus berkenaan bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam.

“Agensi itu juga diminta supaya mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Negeri Perak terlebih dahulu sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa hadapan selain berunding bagi menggunakan modul, kaedah atau pendekatan yang lebih sesuai,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, ketetapan itu diputuskan dalam satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri oleh pejabat Menteri Besar bersama pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu berkenaan.

Katanya, hasil daripada mesyuarat berkenaan telah diangkat sembah serta mendapat titah nasihat Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau meminta semua pihak terutamanya ketua-ketua jabatan perlu mengambil iktibar daripada isu tersebut supaya lebih berhati-hati memastikan tiada kenyataan dalam media sosial yang dibuat tanpa pemantauan, apatah lagi jika menyentuh sensitiviti agama.

Jelasnya, kerajaan negeri mengambil berat polemik tersebut yang menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak-pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

Tegasnya, kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip ‘maqasid syariah’ dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan negeri juga meminta semua pihak bertenang dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dan ketegangan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, tetapi juga dalam konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sebelum ini, tular satu video yang mana peserta program daripada JAIPk telah mengadakan lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam hingga menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen di media sosial. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN