KUALA LUMPUR: Pendirian UMNO dalam isu pembatalan perintah larangan terhadap komik berjudul Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau akan diumumkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam sidang akhbar sempena Perhimpunan Agong UMNO 2024 semalam berkata, Presiden akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu dalam waktu terdekat.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan perintah larangan terhadap komik itu pada 12 Ogos lalu dan terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini, perintah larangan itu dibuat atas alasan terdapat kandungannya yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.
Semalam, Pemuda UMNO mendesak kerajaan mempertimbangkan langkah memfailkan permohonan menyemak semula keputusan pembatalan perintah larangan terhadap komik tersebut.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, komik itu adalah jarum halus DAP bagi mengelirukan dan menafikan sejarah asal Tanah Melayu serta usaha untuk menormalisasi perjuangan komunis.
“Mengapa DAP cuba mempopularkan kembali fahaman komunis di negara ini sehingga membuat rayuan ke mahkamah untuk membatalkan pengharamannya,’’ kata beliau. – UTUSAN










