Ibu Sanusi ditidurkan selepas serangan jantung - Utusan Malaysia

Ibu Sanusi ditidurkan selepas serangan jantung

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor menemani ibunya, Meriam Ahmad yang kini ditidurkan akibat serangan jantung di wad ICU HSB, Alor Setar. - IHSAN UPDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ibu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ditidurkan sejak semalam selepas mengalami serangan jantung ketika berada di rumahnya di Sik.

Muhammad Sanusi berkata, ibunya, Meriam Ahmad, 74, kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

“Pada kelmarin, mak saya dibawa ke Hospital Sik untuk melakukan pemeriksaan awal sebelum doktor membuat keputusan untuk pindahkan dia ke HSB.

“Dia ditidurkan sebelum dibawa ke HSB dan kini ditempatkan di ICU. Mak memang ada masalah jantung sejak berbelas tahun lalu, mungkin pada hari itu dia mengalami serangan jantung dan terus dibawa ke hospital,” katanya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, doktor turut mengesahkan ibunya juga mengalami strok dan kini dalam penjagaan rapi pihak hospital.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu terpaksa membatalkan kehadiran ke Majlis Pemberian Bantuan Operasi dan Agihan Wakalah Zakat kepada Institusi Pendidikan Islam Negeri Kedah Darul Aman 2024 di Sungai Petani.

Langkah itu disebabkan keadaan kesihatan ibunya yang dilaporkan kritikal sebelum digantikan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Mohd. Azam Abdul Samat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN