BAGAN DATUK: Hari Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini yang hanya mempunyai lapan murid berlangsung penuh meriah di padang sekolah itu kelmarin.
Lapan murid di sekolah tersebut terdiri daripada dua murid Tahun 1, seorang murid Tahun 2, dua murid Tahun 3 dan masing-masing seorang murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6.
Guru Besar SK Tebing Rebak, Zaiton Hashim berkata, kekurangan murid bukan halangan untuk pihak sekolah mengadakan hari sukan yang merupakan acara tahunan sekolah.
Menurutnya, ibu bapa, penduduk kampung dan murid dari tiga sekolah jemputan iaitu SK Sungai Buloh, SK Simpang Empat dan SK Batang Kuda dalam daerah Bagan Datuk memeriahkan sambutan hari sukan berkenaan.
“Pihak sekolah rasa terharu dan gembira kerana sambutan luar biasa yang diberikan kepada kami dengan anggaran 200 hadir memeriahkan hari sukan sekolah ini.
“Mereka datang beramai-ramai untuk memberikan semangat dan sokongan kepada murid sekolah ini.
“Tujuan hari sukan ialah memberi pengalaman kepada guru dan murid suasana kejohanan sukan seperti yang diadakan di sekolah-sekolah lain yang mempunyai ramai murid.
“Penyertaan ibu bapa dan penduduk yang turut menyertai beberapa acara sukan menjadikan suasana hari sukan lebih meriah,” katanya.
Menurut Zaiton, selain murid, orang dewasa juga turut menyertai perbarisan yang menjadikan sambutan lebih meriah.
“Hujan pada awal pagi tidak menghalang acara berlangsung dengan penuh meriah dengan murid cukup bersemangat dalam setiap acara yang mereka sertai,” katanya.
Bilangan murid yang sedikit di sekolah itu bukan sesuatu yang luar biasa apabila tahun ini hanya dua murid Tahun 1 mendaftar berbanding seorang seorang murid tahun lalu.
Kekurangan murid di sekolah itu antara lain disebabkan kebanyakan generasi muda telah berhijrah ke bandar lain kerana bekerja. –UTUSAN










