Guard tembak juruwang kiosk stesen minyak, terlepas hukuman mati

Guard tembak juruwang kiosk stesen minyak, terlepas hukuman mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengawal keselamatan yang didapati bersalah melepaskan tembakan terhadap seorang juruwang warganegara Bangladesh semasa merompak sebuah kiosk stesen minyak pada 2016, diperintah oleh Mahkamah Persekutuan menjalani hukuman penjara 33 tahun.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal mengetepikan hukuman mati terhadap Fairol Azman Amironzuki, 39, selepas membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Hanipah Farikullah turut memerintahkan banduan akhir itu dikenakan 12 sebatan manakala tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap pada 7 Ogos 2016.

Pada prosiding itu, Fairol Azman diwakili peguam Fahri Azzat manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai.

Pada 27 September 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkannya atas pertuduhan itu dan dijatuhi hukuman gantung. Keputusan tersebut disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 16 Januari 2019 dan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai 2021.

Pemohon dihukum gantung selepas didapati bersalah melepaskan tembakan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan terhadap pekerja stesen minyak, Tarikul Islam Tarak semasa melakukan rompakan di premis Petroniaga Mesra Services, Setapak, Jalan Genting Kelang, Wangsa Maju, pada 5.40 petang, 7 Ogos 2016.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera di bahagian pinggang dan mahkamah berpuas hati bapa kepada seorang cahaya mata itu memang mempunyai niat untuk melakukan rompakan.

Keterangan kes menunjukkan Fairol Azman mengacukan senjata ke arah warganegara Bangladesh itu dan sambil meminta wang tunai sebelum berlaku pergelutan di antara kedua-duanya.

Perayu kemudian melepaskan tiga tembcakan yang mana salah satunya terkena pinggang mangsa menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan parah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN