Estet Ikan jadi lokasi tumpuan pesta mengoca

Estet Ikan jadi lokasi tumpuan pesta mengoca

KIRA-kira 300 orang menyertai Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh di Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh, Tampin, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Kolam terbiar dalam kawasan tanah adat di Kampung Sungai Jerneh, Gemencheh di sini menjadi tumpuan ramai apabila menjadi lokasi acara mengoca atau menangkap ikan menggunakan tangan sejak dua tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar berkata, kolam terbiar itu dibangunkan semula dengan ternakan ikan air tawar selain menjadi lokasi riadah.

“Melihat kepada sambutan positif orang ramai, pesta me­ngoca diadakan bermula 2022 dan penganjuran tahun ini diserikan dengan acara melepaskan 15 ekor itik ke dalam kolam yang dikeringkan.

“Program ini adalah untuk membudayakan aktiviti me­ngoca bagi masyarakat kampung di samping mengeratkan silaturahim antara peserta. Sasaran kita pada masa hadapan agar ia dijalankan lebih meriah dengan pelbagai aktiviti sam­pingan,” katanya di sini, baru-baru ini.

Program Pesta Mengoca myKP Sungai Jerneh itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup.

Sementara itu, seorang peserta, Zulkarnain Md. Zin, 38, dari Jemapoh, Kuala Pilah, berkata, dia tidak pernah mengikuti mana-mana aktiviti mengoca dan mengakui teruja untuk menyer­tai program tersebut buat kali pertama.

Menurutnya, walaupun tidak menawarkan sebarang hadiah, dia seronok kerana dapat berkumpul dengan ramai peserta dari pelbagai latar belakang, sekali gus menghidupkan semula aktiviti masyarakat seperti mengoca.

“Memang seronok kerana ikan yang ditangkap seperti tilapia ini boleh dibawa pulang, saya harap program seumpama ini dapat diteruskan pada setiap tahun,” katanya.

Sementara itu, Arthur berkata, Estet Ikan yang dikendalikan oleh myKP Sungai Jerneh adalah satu daripada inisiatif Jabatan Perikanan bagi mening­katkan kadar pengeluaran ikan air tawar, terutama di kawasan tanah terbiar yang berpotensi untuk dimajukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN