Empat gadis tempatan terlibat bina kapal tentera laut Nigeria

Empat gadis tempatan terlibat bina kapal tentera laut Nigeria

NUR Adifa Farain Razali; Nurul Izzah Ahmad Daud; Nurmira Allya Hamiza dan Nur Ikhmal Diniah Norsuaidi Akhman antara 85 kakitangan KN Aluminium & Engineering yang terlibat dalam pembinaan dua kapal peronda 38M Sea Eagle milik Tentera Laut Nigeria di Langkawi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Empat gadis tempatan melakar sejarah tersendiri dan membuktikan mereka mampu melakukan tugas-tugas mencabar yang biasanya dido­minasi pekerja lelaki, apabila menjadi jurukimpal dalam pembinaan kapal 38M Sea Eagle untuk Tentera Laut Nigeria.

Nur Adifa Farain Razali, 22; Nurul Izzah Ahmad Daud, 23; Nur Ikhmal Diniah Norsuaidi, 19, dan Nurmira Allya Hamiza, 21, adalah antara 85 kakitangan KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. yang terlibat dalam pembinaan dua kapal tersebut.

Kemahiran dan kualiti ditonjolkan oleh keempat-empat wanita muda itu diakui membantu syarikat tersebut menyediakan aset pertahanan bertaraf dunia kepada Nigeria.

Memuatkan artikel berkaitan…

TERUJA

Nor Adifa Farain yang berasal dari Batu Asah di sini berkata, dia amat teruja apabila dapat terlibat sama dalam pembinaan kapal tentera berkenaan yang disifatkan sebagai pengalaman berguna.

“Saya seronok apabila dapat bersama-sama bekerja menyi­apkan kapal tentera untuk negara luar ini. Semangat bekerja secara berkumpulan dan saling membantu melancarkan segala kerja kimpalan pada kapal.

“Saya anak Langkawi dan memang bangga apabila ada syarikat tempatan di sini yang menggunakan kepakaran pekerja tempatan untuk membina kapal tentera,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kapal 38M Sea Eagle di sini, semalam.

Nor Adifa Farain yang merupakan lepasan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal berkata, dia impikan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kimpalan dasar laut untuk menambah kemahiran dan pengalaman sedia ada.

Bagi Nurul Izzah yang berasal dari Batu Kawan, Pulau Pinang pula bangga melihat hasil kerjanya dan rakan-rakan yang berjaya menyiapkan kapal itu sebelum diserahkan kepada Tentera Laut Nigeria bulan depan.

BANGGA

“Sebagai anak Malaysia, saya rasa bangga kerana kaum wanita juga mampu bina kapal tentera untuk negara luar. Bila tengok kapal sudah siap, saya rasa puas kerana segala penat lelah kami selama ini berbalas,” katanya.

Kata pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam Teknologi Kimpalan Arka di Geomatika Skill Institute itu, dia melakukan kerja-kerja kimpalan untuk sistem perpaipan dalam bilik enjin kapal tersebut.

“Kerja-kerja kimpalan ini memang mencabar kerana ia memerlukan ketelitian, selain perlu berhadapan dengan persekitaran panas. Selain itu, saya juga perlu cepat menyesuaikan diri kerana majorit pekerja di sini dalah pekerja lelaki,’’ katanya.

Nurul Izzah berkata, dia memang meminati bidang kimpalan sejak kecil arwah ayahnya adalah tukang kimpal dalam pembuatan alat ganti kenderaan.

Penyelia bahagian kimpalan kapal, Sazali Rais Moh, 50, berkata, kejayaan menyiapkan dua kapal peronda Tentera Laut Nigeria itu adalah hasil kerjasama dan kepakaran semua pihak.

“Semua pekerja di sini adalah pakar dalam kerja-kerja kimpalan termasuk empat wanita muda ini. Hasil kerja mereka sangat baik kerana ia dilakukan secara terperinci,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini