KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipenjara setahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyamun berkumpulan terhadap seorang lelaki warga Myanmar, Jun lalu.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Shahrel Omar, 32, dan Mat Yusri Mat Osman, 28; kedua-duanya penganggur.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkuat kuasa dari tarikh tangkapan 25 Julai bagi Muhammad Shahrel, manakala hukuman bagi Mat Yusri diperintahkan bermula dari 26 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan samun berkumpulan terhadap Myo Min Win dengan melarikan pasport dan kad pengenalan Myanmar lelaki itu, sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM1,500. Jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM2,000.
Kejadian didakwa berlaku di sebuah pusat beli-belah di Sentul di sini pada pukul 9 malam, 29 Jun lalu.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Illya Syaheedah Mohd Razif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh. Pada prosiding hari ini kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa rayuan, Muhammad Shahrel meminta hukuman ringan kerana tidak bekerja dan baru kehilangan seorang anak dalam kemalangan jalan raya, manakala Mat Yusri merayu hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga.
Berdasarkan fakta kes, ketika pengadu berjalan kaki di Jalan Metro Perdana Timur 2, dia telah ditahan oleh dua lelaki bangsa Melayu berpakaian biasa dan memperkenalkan diri sebagai polis tanpa menunjukkan kad kuasa.
Dua lelaki tersebut kemudian meminta pasport daripada pengadu dan setelah pengadu memberikan beg silangnya, kedua-dua lelaki itu melarikan diri. – UTUSAN










