Dua anggota polis mengaku tidak bersalah peras ugut warga asing RM300 - Utusan Malaysia

Dua anggota polis mengaku tidak bersalah peras ugut warga asing RM300

TERTUDUH, anggota polis tiba di kompleks mahkamah bagi didakwa atas pertuduhan pemerasan warga asing di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Dua anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang memgaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan wang terhadap seorang lelaki warga Myanmar, Ahad lalu.

Kedua-dua tertuduh, Koperal Nik Ridzuan Nik Man, 39, dan  Konstabel Muhammad Najmi Mohd. Khodri, 27, didakwa sengaja melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan kepada Wai Lin Phyo, 29, bahawa dia akan ditangkap sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang bernilai RM300. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11.30 pagi, 28 Julai lalu di tepi Jalan Taming Sari 1, Balakong di Hulu Langat di sini.

Anggota-anggota polis itu didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 akta sama  yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan. 

 Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas setiap tertuduh dengan seorang penjamin. 

Peguambela, Mohd. Wafiq Hadie mewakili Nik Ridzuan memohon jumlah ikat jamin yang rendah kerana anak guamnya menanggung seorang isteri serta tiga orang anaknya di samping menghidap penyakit darah tinggi dan kolestrol. 

Peguambela, Mohd. Fikah Sanusi yang mewakili Nik Ridzuan turut memohon perkara yang sama atas alasan anak guamnya itu telah memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan selain tiada risiko melarikan diri memandangkan masih bertugas sebagai anggota polis. 

Majistret Nurul Hafzan menetapkan wang jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 3 September ini bagi sebutan semula kes serta serahan dokumen. 

Sebelum ini, media melaporkan, pihak polis menahan dua anggotanya yang bertugas di IPD Kajang selepas rakaman mereka melakukan pemerasan ke atas warga asing itu tular di media sosial.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua lelaki itu direman selama dua hari bermula Isnin lalu, sementara Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memberitahu, perintah gantung tugas telah dikeluarkan terhadap kedua-dua anggota polis itu sebagai tindakan awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN