Disangka diculik pemandu Grab, wanita lompat keluar kereta

Disangka diculik pemandu Grab, wanita lompat keluar kereta

BALVEER SINGH MAHINDAR SINGH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang wanita sanggup melompat keluar daripada kereta yang bergerak ke­rana beranggapan dirinya akan diculik pemandu Grab dalam kejadian yang berlaku 11 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisio­ner Balveer Singh Mahindar Si­ngh berkata, hal itu terjadi setelah berlaku salah faham apabila pe­mandu Grab itu mengubah laluan tanpa memaklumkan kepada penumpangnya.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada pemandu Grab itu yang menyatakan telah mengambil seorang penum­pang iaitu wanita tempatan pada pukul 4.50 petang di Taman Seroja untuk dihantar ke Kip Mall, Tampoi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ketika dalam perjalanan, lelaki tempatan itu terpaksa me­ngubah laluan asal dan menuju ke arah Taman Perling untuk membuat pusingan U di Jalan Persisiran Perling setelah mendapati ada kerja penyelenggaraan jalan raya dibuat.

“Wanita itu yang mendapati pemandu Grab itu telah menggunakan laluan yang berbeza, dia kemudiannya telah terjun daripada kereta yang sedang bergerak,” katanya kepada pemberita semalam.

Menurut Balveer Singh, pemandu kereta itu segera berhenti untuk membantu, namun penumpang berkenaan telah dibawa ke hospital oleh orang awam.

“Pemandu Grab itu telah membuat laporan polis sebaik kejadian itu dan juga melapor­kan kepada pihak Grab. Penum­pang juga telah membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.

“Siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit seperti tular insiden cubaan culik yang ditularkan di media sosial membabitkan pemandu e-hailing baru-baru ini,” katanya.

Dalam pada itu, Balveer Si­ngh menyarankan pemandu per­khidmatan pengangkutan memperbaiki komunikasi dengan pe­numpang dalam situasi yang memerlukan laluan alternatif.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, namun perlu berhati-hati dan tidak bertindak terburu-buru sehingga boleh mendatangkan risiko kepada diri sendiri dan orang lain.

“Jika berlaku situasi yang mencurigakan atau tidak dijangka, disarankan supaya berkomunikasi dengan pemandu atau pihak yang terlibat untuk mendapatkan penjelasan. Sekiranya masih merasa tidak selamat, hubungi pihak polis dengan se­gera,” katanya.

Terdahulu, tular satu tangkap layar memaparkan nama pemandu Grab yang dikatakan cuba menculik seorang penumpang menyebabkan wanita itu terjun daripada kereta untuk menyelamatkan diri.

Dalam tangkap layar itu, turut dinyatakan bahawa pemandu Grab berkenaan telah menutup isyarat lokasi dan menukar kepada status offline dalam aplikasi e-hailing itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini