GERIK: Merasai ajalnya sudah tiba, merupakan antara saat yang dialami Ielias Ibrahim setelah dikepung oleh komunis sewaktu bertugas mengawal pembinaan Lebuhraya Timur Barat (LRTB) di sini.
Meskipun sudah hampir 50 tahun kejadian itu berlalu, ia merupakan antara kisah perjuangan yang lalui oleh perajurit negara ketika menentang pengganas Komunis.
Menceritakan kisah tersebut kepada Utusan Malaysia, Ielias yang menganggotai Askar Wataniah pada 1976, diarahkan bertugas bagi mengawal keselamatan pekerja pembinaan LRTB yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan sejauh 120 kilometer.
Pada tarikh 15 Ogos 1977, dia bersama empat anggota yang lain sedang bertugas telah diserang hendap oleh beberapa pengganas komunis di kawasan hutan di Gerik.
Menceritakan detik tersebut, serangan hendap itu mendatangkan tembakan rambang oleh lawan yang mengorbankan dua rakan sepasukannya. Manakala dirinya cedera di bahagian mata akibat terkena duri pokok sewaktu berdepan asakan tersebut.
“Masa itu beberapa rakan terkena tembakan. Apabila keadaan senyap seketika, saya mendengar kehadiran pengganas komunis menuju ke tempat saya dan rakan-rakan. Masa itu saya reda jika inilah ajal saya.
“Namun, saya berlakon berpura-pura mati sewaktu mereka datang. Secara pelan-pelan saya cuba menggunakan peluang yang ada untuk menumbangkan mereka satu persatu seramai tiga orang, menggunakan lima butir peluru,” katanya yang turut menjelaskan seorang daripada tiga yang dia tembak itu merupakan wanita.
Beliau berkata demikian sewaktu hadir sebagai ahli panel dalam Majlis Pengkisahan Sejarah LRTB anjuran Arkib Malaysia di sini baru-baru ini.
LRTB merupakan projek mega kerajaan pada era 1970-an yang bertujuan menghubungkan wilayah barat dan timur bahagian utara Semenanjung Malaysia untuk pembangunan ekonomi.
Pembinaan lebuh raya itu juga dilihat signifikan dalam memerangi komunis yang memasuki tanah air dari selatan Thailand melintasi hutan belantara Banjaran Titiwangsa.
Ielias menjelaskan, pembinaan LRTB yang memakan masa selama 12 tahun dari 1970 hingga 1982 merupakan antara pencapaian yang turut membantu melumpuhkan keganasan Komunis yang tamat pada 1989.
“Apabila disemak, anggota komunis yang berjaya saya hadapi itu sendiri merupakan anak tempatan sendiri. Ia merupakan antara detik genting negara untuk mencapai kestabilan selepas Kemerdekaan.
“Saya bersyukur dan mahu generasi baharu menghargai perjuangan para perajurit yang berkorban mempertahakan keselamatan dan keharmonian negara,” katanya yang lahir pada 30 April 1956 di Batu Kurau, Taiping. – UTUSAN











