Dewan Negara bertafakur hormati pemergian Ismail Haniyeh

Dewan Negara bertafakur hormati pemergian Ismail Haniyeh

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Negara hari ini menjadi saksi gugurnya air mata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas tidak dapat menahan kesedihan susulan pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh oleh rejim Israel kelmarin.

Mohamad dilihat mengesat mata dan pipinya dalam keadaan sebak semasa membacakan pernyataan usul solidariti bersama rakyat Palestin di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, pembunuhan pemimpin itu mempunyai beberapa implikasi amat besar terhadap kestabilan dan keamanan global, bukan sekadar di Asia Barat.

Katanya, ia akan melebarkan lagi peperangan di Gaza dan menyumbang kepada ‘the escalation of the war’ sekali gus menjadikan perang Gaza membarah dan mengheret pelbagai negara di Asia Barat ke kancah peperangan.

“Tindakan pembunuhan ini sangat jelas bahawa ada pihak yang tidak berminat langsung mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Hamas apatah lagi mewujudkan keamanan yang kekal.

“Yang terbunuh kali ini bukan sahaja pimpinan utama Palestin, tetapi prospek keamanan. Ini ialah kematian pada keamanan.

“Bagaimana mungkin usaha gencatan senjata diteruskan apabila pemain dan perunding utama gencatan senjata dibunuh dengan kejam?” katanya di Dewan Negara hari ini.

Selain itu, katanya, Israel langsung tidak menunjukkan sebarang bentuk kekangan, malah memperlekeh gesaan menghentikan genosid ke atas penduduk Gaza selain tindak balas daripada kelompok The Axis of Resistance juga akan lebih sukar dibendung.

Katanya, kesemua itu akan menjadikan dunia berhadapan krisis keselamatan global yang lebih meruncing, sekali gus mengancam pertumbuhan dan kestabilan ekonomi dunia dan kesejahteraan manusiawi.

“Kekejaman rejim zionis Israel dan pembunuhan rakyat Palestin mesti dihentikan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia teguh dengan penegasan dasar luar bahawa hak dan kepentingan rakyat Palestin mesti diperjuang dalam setiap forum, ketetapan, usul dan tindakan di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Pejuang-pejuang Palestin pada pendirian Malaysia adalah pejuang kemerdekaan dan pembebasan yang sah dan mesti dihormati dan disokong. Mereka yang menentang pendirian ini adalah mereka yang diskriminatif dan sengaja membutakan mata dan akal dari segala fakta dan kebenaran,” katanya.

Dewan Negara kemudian bertafakur seminit untuk menghormati pemergian Ismail selepas Mohamad membuat penerangan di bawah Peraturan Mesyuarat 89 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat Negara sebelum usul itu dibahas empat Senator-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN