DUBAI: Cuaca menjadi punca nahas helikopter sehingga mengorbankan bekas Presiden Iran, Ebrahim Raisi di barat laut Iran pada Mei lalu.
Lapor agensi berita Iran, Fars yang memetik sumber keselamatan memaklumkan siasatan akhir keputusan mendapati tiada bukti sabotaj atau serangan ditemui setakat ini.
Ia merupakan hasil laporan awal oleh tentera Iran bagi merungkai punca nahas tersebut yang mengorban Raisi bersama pemimpin kanan Iran.
Dua punca kemalangan itu dikenal pasti iaitu keadaan cuaca dan helikopter berkenaan tidak dapat menampung berat, menyebabkannya terhempas ke gunung, tambah sumber itu, menurut Fars.
“Siasatan dalam kes nahas helikopter Raisi sudah selesai, ada kepastian sepenuhnya bahawa apa yang berlaku adalah disebabkan kemalangan,” sumber keselamatan yang tidak dinamakan memberitahu agensi berita itu.
Siasatan juga menunjukkan helikopter terbabit membawa lebih dua individu daripada kapasiti yang ditentukan oleh protokol keselamatan, kata sumber itu.
Dalam kejadian 19 Mei lalu, helikopter yang membawa Raisi, bersama sejumlah pegawai kanan dilaporkan terhempas di barat laut Iran.
Raisi dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah majlis perasmian empangan di sempadan Iran-Azerbaijan, apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika mahu mendarat di wilayah Varzaqan.
Selain Raisi, Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian; Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur, Malek Rahmati; Imam Solat Jumaat di Tabriz, Hojjatoleslam Al Hashem; dan beberapa pegawai lagi turut berada dalam helikopter berkenaan.
Dalam sistem dwi politik Iran yang berpecah antara pertubuhan perkeranian dan kerajaan, mentor Raisi berusia 85 tahun, Ayatollah Ali Khamenei, pemimpin tertinggi sejak 1989 yang memegang kuasa membuat keputusan pada semua dasar utama.-AGENS










